Dunia

Iran henti hantar duta ke Sweden, tanda protes bakar al-Quran

Pelaku didakwa dengan tindakan hasutan terhadap kumpulan etnik

TEHRAN, 14 Zulhijjah 1444H, Isnin – Iran tidak akan menghantar duta baharu ke Sweden sebagai tanda protes terhadap insiden pembakaran al-Quran di luar masjid di Stockholm, baru-baru ini.

Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian berkata demikian dalam ciapan di laman Twitter pada Ahad.

“Walaupun prosedur pentadbiran untuk melantik duta baharu ke Sweden telah selesai, proses penghantaran mereka ditangguhkan kerana kerajaan Sweden mengeluarkan permit untuk mencemarkan Al-Quran,” katanya.

Rabu lalu, seorang lelaki dilaporkan mengoyak dan membakar al-Quran di luar masjid pusat Stockholm, pada hari pertama sambutan Aidiladha.

Polis Sweden mendakwa pelaku tersebut dengan tindakan hasutan terhadap kumpulan etnik atau kebangsaan.

Sebelum itu, polis Sweden telah menolak beberapa permohonan untuk mengadakan demonstrasi anti-Quran, namun mahkamah menolak keputusan tersebut, mengatakan ia melanggar kebebasan bersuara.

Dalam permit untuk demonstrasi pada hari Rabu, polis Sweden berkata walaupun ia mungkin akan memberi kesan kepada dasar luar, risiko keselamatan dan kesan yang dikaitkan dengan pembakaran al-Quran tidak menjurus keadaan sedemikian sehingga permohonan berkenaan perlu ditolak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button