King Sing perlu letak jawatan, konon dedah rasuah tapi masih sepi dari sebarang bukti
Video rakaman tular baru terkial-kial nak cerita pasal 'bongkar rasuah'?

BANGI, 14 Zulhijjah 1444H, Isnin – Datuk Seri Tiong King Sing perlu meletak jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya susulan dakwaannya bahawa wujud budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kronik segelintir pegawai Imigresen di pintu masuk negara.
Desakan itu disuarakan jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya selepas satu laporan polis dibuat Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil bagi menangkis dakwaan Ahli Parlimen Bintulu itu pada Khamis lalu.
Laporan itu menafikan dakwaan anggota Imigresen meminta wang RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan wanita dari China yang dikenali sebagai Wang Xu.
Justeru, Aminuddin menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melucutkan sahaja jawatan King Sing sekiranya benar-benar ikhlas berbicara mengenai tatakelola dan integriti.
“Akhirnya pihak Imigresen buka mulut juga. Dalam sebuah kenyataan, Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil telah membuat laporan polis memaklumkan dakwaan budaya rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang adalah tidak berasas.
“Sudah lebih kurang dua hari, dakwaan menteri bahawa beliau berada di KLIA ‘menyelamatkan’ seorang warganegara China kononnya dari komplot rasuah pegawai Imigresen KLIA itu masih sepi dari sebarang bukti. Hanya cakap mulut sahaja.
“Malah, pelbagai persoalan pula yang timbul apabila Menteri Pelancongan itu buat justifikasi tetapi hakikatnya nampak seperti ‘coverline’ dan mengalih isu,” katanya dalam satu kenyataan.
Aminuddin menegaskan apa yang pasti, King Sing sudah bertindak keterlaluan dan mengganggu tugas penguatkuasa dengan menyalahgunakan kedudukannya selaku seorang menteri.
“Itu pun macam tak ada kena mengena sangat. Kalau dia Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin ada kaitan juga kalau nak ‘goreng’ macam ini pun.
“Jika dibiarkan dan ‘dihalalkan’ tindakan sebegini, maknanya mana-mana menteri boleh buat apa sahaja seolah-olah pegawai-pegawai penguatkuasa hanyalah tunggul yang tidak perlu dihormati.
“Malah jika ‘kantoi’, boleh dikambinghitamkan sahaja pegawai yang ada dengan dakwaan-dakwaan tanpa bukti sebegini,” katanya.
Lebih teruk lagi, kedaulatan dan keselamatan negara boleh dikompromi dan terdedah begitu sahaja dengan hanya melayan ‘kerenah’ menteri.
“Lagipun, laporan berita kata ini bukan kali pertama berlaku. Maka, apa jadi dengan insiden-insiden sebelum ini? Semua sebab bongkar rasuah jugakah? Kenapa bila video rakaman sudah viral baru terkial-kial nak cerita pasal ‘bongkar rasuah’ ini?,” soalnya.
Terdahulu, King Sing menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.
Katanya, beliau hadir di pejabat Imigresen di KLIA pada petang Khamis selepas menerima terlalu banyak aduan mengenai halangan untuk pelancong masuk ke negara ini
Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/07/01/sprm-siasat-dakwaan-budaya-rasuah-babit-penguat-kuasa-di-klia/