Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Pertempuran di Sudan semakin sengit

Konflik krisis kemanusiaan semakin mendalam, kepentingan serantau lain terancam

KAHERAH, 14 Zulhijjah 1444H, Isnin – Pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) semakin rancak pada Ahad, apabila perang di ibu negara dan wilayah barat negara itu memasuki minggu ke-12 tanpa cubaan untuk menamatkan konflik secara aman.

Serangan udara dan artileri serta tembakan senjata kedengaran, khususnya di bandar Omdurman serta di ibu kota Khartoum, ketika konflik itu semakin mendalam dengan krisis kemanusiaan dan mengancam untuk menarik kepentingan serantau yang lain.

RSF mendakwa, pihaknya menjatuhkan sebuah pesawat perang tentera dan sebuah dron di Bahri, dalam kenyataan yang tidak segera dijawab oleh tentera.

RSF telah menguasai ibu kota di darat dan telah dituduh merompak dan menduduki rumah, manakala tentera memberi tumpuan kepada serangan udara dan artileri.

Ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan minggu lalu menggesa lelaki muda untuk menyertai perjuangan menentang RSF dan pada Ahad tentera menyiarkan gambar yang dikatakan sebagai rekrut baru.

Sementara itu, Kesatuan Doktor Sudan mendakwa RSF pada Sabtu lalu menyerbu Hospital Shuhada, salah satu daripada perkhidmatan yang masih beroperasi di negara itu, dan membunuh seorang kakitangan.

RSF bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.

Peperangan juga melanda bandar-bandar di wilayah Kordofan dan Darfur barat, khususnya bandar El Geneina, di mana RSF dan militia Arab telah dituduh melakukan pembersihan etnik.

Unit Membanteras Keganasan Terhadap Wanita – sebuah agensi kerajaan – berkata, pihaknya merekodkan 88 kes serangan seksual, yang dikatakan sebahagian kecil daripada jumlah sebenar yang mungkin berlaku, di Khartoum, El Geneina, dan Nyala, ibu kota Darfur Selatan.

Mangsa dalam kebanyakan kes menuduh RSF.

Rundingan yang dianjurkan di Jeddah dan ditaja oleh Amerika Syarikat dan Arab Saudi telah digantung bulan lalu, manakala percubaan pengantaraan oleh negara-negara Afrika Timur dikecam oleh tentera kerana ia menuduh Kenya berat sebelah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button