Israel sengaja sasar wartawan demi tutup jenayahnya terhadap rakyat Palestin
Kru media dikepung lebih dua jam, kamera dirampas

TEBING BARAT, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Kementerian Penerangan Palestin berkata, tindakan Israel menyasarkan wartawan dalam pengeboman maut baru-baru ini ke atas kem pelarian Jenin adalah percubaan terdesak menyembunyikan jenayahnya di seluruh wilayah yang diduduki.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, tindakan mengepung kru media lebih dua jam di dalam sebuah rumah di kem, menembak wartawan, dan merampas serta melupuskan kamera adalah sebahagian daripada dasar Israel untuk menyembunyikan jenayahnya.
Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini menggesa Israel untuk menamatkan serangan ‘bersistematik’ ke atas wartawan Palestin.
Terdapat bukti bahawa belasan wartawan telah diserang atau disasarkan oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak beberapa bulan lalu.
Dalam serangan terbaharu di Jenin, sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak bawah umur, telah terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Laporan media mengatakan ambulans tidak boleh sampai ke kawasan mereka yang cedera kerana pertempuran senjata sengit berterusan antara askar Israel dan pejuang Palestin.
Timbalan Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub berkata, tentera Israel bukan sahaja menyasarkan orang, tetapi juga infrastruktur kem itu.
“Mereka (pasukan Israel) telah memutuskan semua elektrik, telekomunikasi dan air,” katanya.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin telah melabelkan operasi Israel baru-baru ini sebagai jenayah perang.
Duta Palestin ke Liga Arab akan menghadiri mesyuarat hari ini bagi membincangkan tindakan berkesan untuk menghentikan pencerobohan Israel. – Agensi