Berita Utama

PH boleh teruskan angan-angan rampas Kedah

Sukar ubah sokongan pengundi Melayu kepada parti lain: Sanusi

LANGKAWI, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Pakatan Harapan (PH) boleh meneruskan angan-angan untuk merampas Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN), demikian kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah berkata, peralihan undi sebanyak 10 peratus yang diimpikan PH itu sukar berlaku dalam politik, khususnya apabila mengambil kira corak sokongan di Kedah.

“Perubahan pengundi Melayu susah berlaku, khususnya babitkan pengundi Melayu yang masih mahu bersama PN. 

“Tak apalah, (PH) boleh teruskan berangan-angan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Tidak gentar dengan PH, Muhammad Sanusi berkata, sokongan pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan apabila berjaya membolot 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang ditandingi.

“Saya percaya gelombang itu masih kekal hingga PRN. 

“Sukar mahu ubah sokongan pengundi PN kepada parti atau gabungan lain di negeri ini,” katanya.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan komposisi terkini menyaksikan PN memiliki 20 kerusi, iaitu PAS sebanyak 14 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi.

PH memiliki 10 kerusi yang menggabungkan PKR sebanyak lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi dan DAP (dua) manakala BN dan Pejuang masing-masing beroleh dua kerusi.

Dua kerusi kosong, iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, sementara DUN Belantek kosong disebabkan kematian ADUN, Datuk Mohd Isa Shafie pada 14 Jun lepas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button