Dunia

Rakyat Palestin protes pencerobohan Israel di Jenin

Ratusan penduduk Tebing Barat, Ramallah berarak di jalanan

RAMALLAH, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Ratusan rakyat Palestin berarak merentasi beberapa kawasan di Tebing Barat bagi mengecam serangan udara dan darat Israel yang berterusan ke atas Jenin serta yang telah menyebabkan lapan nyawa terkorban manakala puluhan lain cedera.

Rakyat Palestin turun ke jalanan merentasi pelbagai bahagian di Tebing Barat sebagai solidariti untuk Jenin yang berdepan serangan udara dan darat pengganas Israel sejak awal pagi semalam.

Menurut agensi berita Wafa, tentera pengganas Israel menyerang perarakan di pintu masuk perkampungan Nabi Saleh dan Aboud – di barat laut Ramallah – dengan bom tangan dan gas pemedih mata, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tentera Zionis juga menyerang rakyat Palestin yang turun ke jalan berhampiran pusat pemeriksaan tentera Qalandia di utara Baitulmaqdis yang diduduki.

Saksi mata berkata, tentera Israel menyerang perarakan dengan peluru keluli bersalut getah dan gas pemedih mata, manakala pemuda Palestin bertindak balas membakar tayar berhampiran menara tentera yang didirikan berdekatan pos pemeriksaan di pintu masuk ke kem Qalandia. Tiada kecederaan dilaporkan.

Konfrontasi sama berlaku di pintu masuk utara ke Bethlehem, di mana sebilangan rakyat Palestin sesak nafas selepas terhidu gas pemedih mata yang digunakan tentera Israel ke atas mereka.

Sementara itu, ratusan lagi rakyat Palestin mengadakan bantahan di Ramallah sebagai mengutuk pencerobohan pengganas Israel di Jenin dan kemnya.

Mereka berarak di jalan-jalan bandar sambul melaungkan slogan mengutuk jenayah pendudukan Israel.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button