Berita Utama

Zuraida ingatkan Anthony, sikap tak ikhlas DAP punca Tun M letak jawatan

Banyak pihak tak selesa, pertikai niat sebenar DAP

BANGI, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Datuk Zuraida Kamaruddin mengingatkan Anthony Loke Siew Fook bahawa DAP antara pihak yang memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri setelah 22 bulan memerintah.

Memetik pentas ceramah Pilihan Raya Kecil Sandakan pada Mei 2019, bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata, veteran DAP, Lim Kit Siang ketika itu menyatakan bahawa beliau sendiri akan meletakkan jawatan sekiranya Dr Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera.

Dakwanya, perkara itu antara bukti utama yang memperlihatkan niat sebenar DAP yang sememangnya tidak ikhlas di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kemenangan besar gabungan parti itu pada tahun 2018.

“Kenyataan daripada pemimpin DAP paling berpengaruh pada ketika itu telah menyebabkan banyak pihak di dalam gabungan PH merasa tidak selesa dan mula mempertikaikan niat sebenar DAP.

“Sekiranya tekanan tidak diberikan kepada Dr Mahathir pada ketika itu, sudah tentu tidak akan meletakkan jawatan atau mempunyai perancangan untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP yang mendakwa parti itu tidak pernah menarik sokongan kepada Dr Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebelum ini, Anthony menzahirkan rasa amat kecewa dengan dakwaan Dr Mahathir bahawa parti itu akan menggugat kedudukan Anwar dalam Kerajaan Madani ketika ini, sambil menyatakan bahawa DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum.

Beliau berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri, kononnya DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen akan mengugut Anwar untuk mengubah kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah tindakan sangat tidak bertanggungjawab.

“Apakah beliau sudah lupa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didukung oleh 42 Ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?

“Sejak negara mencapai kemerdekaaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman. Adakah Dr Mahathir lupa visi beliau untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020?

“Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Dr Mahathir tidak perlu bimbang,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida mengingatkan Anthony Loke dan juga pemimpin DAP yang lain untuk tidak bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’ dalam isu berkaitan peletakan jawatan Dr Mahathir.

“Sikap DAP yang tidak ikhlas dalam menyokong pentadbiran Dr Mahathir pada ketika itu secara langsung turut menyumbang kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 pada ketika itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button