Berlaku keretakan dalam PH-BN?
Elak pilih pemimpin yang sering guna sentimen perkauman demi raih undi

BANGI, 16 Zulhijjah 1444H, Rabu – Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal menguruskan negara dengan baik.
Lebih buruk, ia dicampuri kepimpinan yang mengalami keretakan besar, termasuk tidak mampu melaksanakan ‘peluang’ yang diberikan rakyat, kata Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan.
Beliau berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah ‘buntu’, yang mana kita lihat sehari demi sehari perpecahan dan keretakan benar-benar berlaku.
“Baik di kalangan BN sendiri, antara UMNO dan juga parti-parti komponen dalam BN telah digelar sebagai biawak hidup.
“Kemudian kalau di pihak PH-DAP pun kita lihat berlakunya letak jawatan, keluar daripada DAP, dan banyak berlaku pertikaian, termasuk perebutan kerusi untuk PRN nanti,” katanya menerusi sebuah video yang dikongsi pada akaun TikTok.
Dalam pada itu, beliau berkata situasi Kerajaan Madani sekarang boleh menjadi ‘manifestasi’ kepada masyarakat Cina agar menjadi lebih rasional dalam proses pemilihan pemimpin.
Atas sebab itu, Fahmi menggesa masyarakat Cina supaya tidak memilih pemimpin yang sering menggunakan sentimen perkauman untuk meraih undi.
“Tidak salah jika masyarakat Cina kembali kepada ‘nature’ yang sebelum ini – tidak terlalu menggunakan sentimen perkauman dalam memilih pemimpin.
“Kalau sebelum ini, DAP berjaya mengangkat isu perkauman sehingga masyarakat Cina boleh bersatu undi DAP, hari ini saya rasa sudah tiba masanya masyarakat Cina tidak lagi mengundi DAP, kerana kita perlu kembali kepada rasional memilih pemimpin.
“Jika pemimpin itu baik, maka undi. Tetapi jika sekiranya kita mengangkat logo parti dan juga agenda-agenda Islam liberal dan juga Malaysian Malaysia sebagai suatu agenda perjuangan, saya yakin masyarakat Cina akan terus menjadi masyarakat yang tidak lagi rasional,” katanya.