Berita Utama

Malaysia tuntut Israel hentikan pertumpahan darah di Jenin

Peningkatan keganasan burukkan lagi keadaan

BANGI, 16 Zulhijjah 1444H, Rabu – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan rejim Israel di Jenin, Tebing Barat Palestin.

Kementerian Luar Negeri berkata, peningkatan keganasan telah memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk di Jenin.

“Banyak nyawa yang tidak bersalah telah terkorban akibat pencerobohan Israel. Provokasi, pencerobohan dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh Israel adalah pencabulan kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menuntut Israel menghentikan segera pertumpahan darah dan membenarkan akses tanpa halangan untuk penduduk di Jenin kepada perkhidmatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia juga sekali lagi menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ahli masyarakat antarabangsa untuk menuntut rejim Israel menghentikan jenayah kejam kemanusiaan serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin demi kepentingan keamanan dan kestabilan.

“Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian rakyat Palestin berhak tinggal di negara mereka yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button