Nama pegawai JPN minta wang sogokan diserah pada SPRM
Tiada sebarang bayaran proses pengeluaran sijil warganegara

BANGI, 16 Zulhijjah 1444H, Rabu – Nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, identiti pegawai terbabit dikenal pasti selepas beliau dihubungi oleh pengadu secara terus.
“Kita kenal pegawai yang terbabit dan saya dihubungi terus pengadu berkait tindakan pegawai itu yang meminta sejumlah wang yang besar, bagi memperoleh dokumen yang sudah diluluskan itu.
“Saya akan beri nama pegawai itu kepada SPRM hari ini. Saya juga sudah hubungi Tan Sri Azam Baki.
“Jadi, kita serahkan kepada suruhanjaya itu untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini.
Saifuddin berkata, sebarang urusan di JPN yang melibatkan kelulusan bagi sijil warganegara atau kelahiran tidak memerlukan sebarang bayaran, kata Saifuddin.
“Di JPN ada jawatankuasa yang membuat pertimbangan berdasarkan undang-undang dan pekeliling, pengesahan kesahihan dokumen. Jadi, mereka akan syorkan permohonan lulus atau tidak.
“Pemohon juga akan dimaklumkan permohonan mereka lulus. Bermaksud mereka hanya perlu datang ambil dokumen.
“Kalau ada pegawai yang menghubungi untuk minta bayaran, abaikan. Sebab itu bukan amalan dalam tata kelola kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara sedang disiasat pihak berkuasa berkaitan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai.
Beliau menerima maklumat tentang penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai JPN mengenakan sejumlah bayaran terhadap mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.