Berita Utama

Pejuang taruh harapan kerjasama dengan PN

Mahu undi Melayu disatukan, formula terbaik berdepan PH-BN

BANGI, 5 Julai – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menaruh harapan yang tinggi untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos depan.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, partinya itu tidak mahu dilihat sebagai faktor yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN nanti.

Ini kerana penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik kepada partinya serta PN berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Pada mulanya saya sendiri ada berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Memang dari awal kami optimistik dan menerima respon positif, jadi apabila kami mohon (sertai PN) dan ditolak, kami rasa kecewa, sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami berharap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz menjelaskan, tujuan utama Pejuang mahu bekerjasama dengan PN ialah untuk memastikan dalam PRN akan datang wujud keadaan satu lawan satu.

Selain mengelakkan berlakunya pertembungan kerusi antara calon Pejuang dan PN, katanya.

“Kami mahu undi Melayu disatukan dan rasa ini formula terbaik untuk memastikan kemenangan apabila berhadapan dengan gabungan PH-BN,” katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, buat masa ini, belum ada lagi keputusan selepas pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Muhyiddin semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button