Presiden MCA tolak tawaran PN tinggalkan BN
Sanusi anggap keputusan tak tanding PRN manifestasi bantahan terhadap Zahid

BANGI, 18 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Tawaran Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memberikan kerusi kepada MCA dan MIC ditolak Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sanusi membuat tawaran untuk bertanding di kerusi campuran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti sekiranya dua parti komponen itu meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Ka Siong yang merupakan Presiden MCA menolaknya.
“No (tidak),” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook, hari ini.
Hantaran reaksi tersebut turut dimuat naik bersama keratan laporan portal tempatan dengan tajuk ‘PN sedia beri MCA, MIC kerusi campuran jika keluar BN, kata Sanusi’.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berpendapat, MCA dan MIC memutuskan tidak menyertai PRN disebabkan layanan tidak adil, khasnya membabitkan kerusi campuran dikuasai Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Sanusi juga percaya tindakan MCA dan MIC tidak bertanding sebagai satu manifestasi bantahan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.
Sementara itu, sebuah portal berita turut melaporkan kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon bahawa tiada sebarang perbincangan di kalangan MCA untuk keluar daripada BN walaupun mengumumkan tidak bertanding pada PRN enam negeri.
“Tidak ada isu nak masuk ke mana-mana pakatan politik baharu,” katanya.