Berita Utama

Senarai tular nama calon PAS tanding PRN Kelantan palsu

Tidak tahu motif maklumat tak betul disebarkan: Tuan Ibrahim

KOTA BHARU, 18 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Senarai nama calon PAS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan yang tular ketika ini adalah palsu, tegas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka itu berkata, beliau sendiri sudah melihat senarai nama yang tular berkenaan.

“Apa yang saya boleh katakan senarai berkenaan tidak betul sama sekali dan ia mula tular sejak semalam.

“Biasalah kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kira undi.

“Namun saya sahkan senarai berkenaan tidak betul dan palsu. Kita tidak tahu apa motif maklumat yang tidak betul itu disebarkan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Terdahulu, dilaporkan tular senarai nama calon PAS dan Bersatu yang dikatakan akan bertanding di PRN Kelantan pada bulan depan.

Menerusi senarai berkenaan, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dikatakan, bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dikatakan, bertanding di DUN Kijang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dikatakan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu DUN Pasir Pekan dan DUN Panchor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button