Berita Utama

Syor keluar KWSP bulanan hanya untungkan satu pihak

Tak mustahil golongan bawahan memberontak jika skim diteruskan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Cadangan melaksanakan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berkala atau bulanan bagi pencarum berusia 55 tahun hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, cadangan pelaksanaan pengeluaran tersebut kini diperingkat akhir dan bergantung kepada keupayaan KWSP.

Perdana Menteri mengakui kerajaan tidak menghalang usaha KWSP untuk melaksanakan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori.

Mengulas perkara itu, penganalisis ekonomi, Prof Dr Abu Sofian Yaacob berkata, skim yang diperkenalkan itu hanya mampu ‘membela’ nasib pencarum yang yang mempunyai simpanan yang tinggi sahaja untuk jangka masa tertentu.

“Bayangkan jika pencarum hanya memiliki simpanan kurang daripada RM100,000, jadi berapa lama skim pencen ini mampu bertahan untuk menampung kehidupan selepas bersara.

“Sedangkan mereka memerlukan kewangan yang tetap untuk meneruskan kehidupan.

“Jadi saya lihat skim ini hanya sesuai untuk pencarum yang mempunyai simpanan tinggi terutama lebih daripada RM500,000,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya tiada pilihan, skim ini boleh dilaksanakan untuk jangka masa pendek bagi menstabilkan keadaan ekonomi negara, dan perlu diubah suai selepas keadaan ekonomi bertambah baik.

Namun sekiranya berterusan, Dr Abu Sofian tidak menolak kemungkinan akan menyebabkan golongan bawahan terutama pekerja biasa yang mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000 memberontak.

Dalam pada itu katanya, skim berkenaan boleh diteruskan dan sesuai sekiranya seseorang itu masih mempunyai pendapatan tetap.

Beliau bagaimanapun mengesyorkan supaya kerajaan mencari mekanisme lain yang lebih relevan dan menguntungkan semua pihak terutama golongan bawahan.

Katanya, buat masa ini golongan pertengahan dan bawahan terutama B40 sangat memerlukan skim berkenaan memandangkan kos sara hidup sangat mencabar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button