Tak tanding PRN, MCA-MIC beri laluan mudah pada DAP?
Mungkin parti komponen BN diketepikan selepas UMNO dalam kerajaan baharu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 18 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Keputusan parti perkauman MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan menimbulkan tanda tanya baharu.
Apa pun alasan, pastinya tindakan dua parti itu seakan memberikan laluan mudah kepada parti cauvinis, DAP untuk menang di kawasan majoriti Cina dan India, kata Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman al-Hakim Mohamad.
Beliau berkata, semua maklum MCA dan MIC sememangnya ditolak oleh orang Melayu, apatah lagi dengan kepincangan kronik yang sedang melanda UMNO.
“Rentetan daripada permuafakatan UMNO dengan DAP dalam kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah tentulah MCA dan MIC semakin ditolak bangsa sendiri, akan diketepikan.
“Ibarat habis madu sepah dibuang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Semalam, MCA memaklumkan tidak akan bertanding di PRN enam negeri kerana mahu menumpukan kepada persediaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, MCA juga mahu melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.
Selang beberapa jam selepas itu, satu lagi komponen BN iaitu MIC turut mengumumkan keputusan sama.
Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran pula berkata, keputusan itu dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti.
Bagaimanapun, Muhammad Lukman mendakwa penarikan dua parti ini bukan dibuat oleh para pimpinan parti masing-masing.
Tetapi, beliau membayangkan keputusan penarikan itu dianjurkan kepada MCA dan MIC oleh pimpinan BN itu sendiri.
Prestasi kedua-dua parti bukan Melayu itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan penurunan ketara dalam pengundian.
Dilaporkan, daripada 10 calon MIC yang dipertaruhkan, hanya seorang yang berjaya mengalahkan lawan masing-masing iaitu M Saravanan di kawasan parlimen Tapah.
Manakala MCA pula yang meletakkan 42 calon, hanya dua calon mereka berjaya ke Dewan Rakyat iaitu Wee Ka Siong bagi kerusi Ayer Hitam, dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).