22 maut serangan ganas di Sudan
Pertempuran tertumpu di kompleks penyiaran negeri di Omdurman

KHARTOUM, 20 Zulhijjah 1444H, Ahad – Serangan udara tentera Sudan mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang di barat Omdurman, kata Kementerian Kesihatan negeri Khartoum pada Sabtu, ketika perang negara itu memasuki hari ke-85.
Bandar berkembar Khartoum, Omdurman sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan pertempuran antara tentera dan musuhnya, kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Walaupun Kementerian Kesihatan Persekutuan mengesahkan ratusan orang mati dalam konflik Sudan – yang bermula pada 15 April – angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Di Khartoum dan bandar Omdurman dan Bahri, Angkatan Tentera Sudan (SAF) telah mengetuai serangan udara dan artileri, manakala RSF telah mendominasi di darat, bergerak untuk mengawal sebahagian besar bandar itu.
Sejak malam Jumaat, serangan tentera juga tertumpu kepada kompleks penyiaran negeri di timur Omdurman.
Serangan pada malam lain turut melanda selatan dan timur Khartoum.
Tentera dalam satu catatan di Facebook berkata, pasukan khas telah membunuh 20 ‘askar pemberontak’ dan memusnahkan senjata mereka.
Di luar Khartoum, pertempuran sedang berlangsung di Darfur dan Kordofan, di mana RSF mengepung bandar el-Obeid yang penting secara strategik.
Penduduk bandar pada minnggu lalu berkata, mereka kehabisan air, makanan, bahan api dan bekalan penting lain.
Lebih 2.9 juta rakyat Sudan kehilangan tempat tinggal, termasuk hampir 700,000 yang terpaksa melarikan diri ke negara jiran.
Menurut agensi bantuan, terdapat juga laporan mengenai ‘angka yang membimbangkan’ bagi kes rogol, serangan seksual dan penculikan wanita dan kanak-kanak perempuan, beberapa seawal 12 tahun, oleh pejuang.
Save the Children pada Jumaat lalu berkata, sekurang-kurangnya 88 kes rogol disahkan sejak konflik bermula. – Agensi