Berita Utama

Anwar dakwa Muhyiddin berbohong isu hutang Felda

Kata selesai 2021, tapi saya tandatangan kelulusan pelupusan hutang bulan lepas

ALOR SETAR, 20 Zulhijjah 1444H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuduh beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka Felda.

Katanya, sebagai Menteri Kewangan, beliau baru sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang itu pada akhir bulan lepas.

“Mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuat kenyataan Perdana Menteri berbohong kerana perkara ini (hutang) telah selesai sejak tahun 2021.

“Sekarang kamu kata dah selesai, saya baru tandatangan akhir Jun, Menteri Kewangan tandatangan kelulusan ini. Jadi kamu dah selesai tahun 2021 bagaimana, selesai di mana?” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata memang terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu untuk melupuskan hutang berkenaan, namun ia tidak dilaksanakan.

“Belanjawan 2021 bawah Perikatan Nasional dan 2022 bawah Perikatan Nasional tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. Saya kekal dengan rekod ini. Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya. –  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button