15 maut hujan monsun landa utara India
New Delhi terima taburan hujan paling tinggi dalam tempoh 40 tahun

NEW DELHI, 21 Zulhijjah 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam kejadian banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan monsun di utara India, dengan New Delhi menerima taburan hujan paling tinggi dalam tempoh beberapa dekad.
Situasi itu mengakibatkan jalan raya di beberapa bahagian di ibu negara ditenggelami air setinggi lutut selepas digenangi hujan sebanyak 153mm, jumlah curahan hujan tertinggi dalam sehari pada Julai dalam tempoh 40 tahun.
Dengan sekurang-kurangnya satu hari lagi ramalan hujan lebat, pihak berkuasa mengarahkan sekolah ditutup di New Delhi pada Isnin.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan pada Ahad, bahawa 15 orang telah terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu di enam negeri di utara India.
Negeri bukit adalah yang paling teruk terjejas menyebabkan enam maut di Himachal Pradesh, di mana tanah runtuh menyekat kira-kira 700 jalan raya, kata pegawai pengurusan bencana, Omkar Sharma.
Jabatan Meteorologi India meramalkan lebih banyak hujan merentasi sebahagian besar utara India dalam beberapa hari akan datang.
Data rasmi menunjukkan hujan monsun di seluruh negara pada minggu pertama Julai telah menghasilkan kira-kira dua peratus lebih banyak hujan daripada biasa.
Monsun musim panas membawa Asia Selatan 70 hingga 80 peratus daripada hujan tahunannya, serta kematian dan kemusnahan akibat banjir serta tanah runtuh.
Hujan sukar diramalkan dan berbeza-beza, tetapi saintis berkata, perubahan iklim menjadikan monsun lebih kuat dan tidak menentu. – Agensi