8 maut serangan bom kereta di Syria
Kedai baiki kereta diletupkan, tiga kanak-kanak jadi mangsa

BEIRUT, 21 Zulhijjah 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya lapan orang termasuk tiga kanak-kanak maut dalam dua kejadian berasingan membabitkan letupan bom kereta pada Ahad di utara Syria, kata seorang pemantau perang.
Satu letupan melanda sebuah kedai membaiki kereta di Shawa, sebuah kampung berhampiran sempadan Turkiye yang dikuasai pejuang pro-Ankara, penduduk memberitahu AFP.
Lima orang awam termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dan 10 yang lain cedera, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.
Kawasan yang dikawal oleh Turkiye dan proksi Syria di utara Syria adalah tempat kejadian pembunuhan, pengeboman dan pertempuran yang disasarkan antara kumpulan bersenjata.
Sementara itu, dalam kejadian kedua, bahan letupan yang dipasang di dalam kenderaan membunuh tiga pejuang yang bergabung dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish di bandar Manbij, menurut pemerhati.
Manbij adalah bekas kubu kuat militan Daesh yang kini dikawal oleh majlis tentera yang bergabung dengan SDF yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab bagi pengeboman itu.
Perang Syria meletus pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap protes antikerajaan.
Ia telah berkembang menjadi konflik kompleks yang membabitkan pejuang dan kuasa asing, serta telah membunuh lebih daripada setengah juta orang dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal. – Agensi