Isu 3R: Polis sahkan sedang siasat Abdul Hadi
Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak gugat ketenteraman awam

BANGI, 21 Zulhijjah 1444H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang dipercayai menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).
Ia susulan dakwaan Abdul Hadi bahawa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan negara Barat.
Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran Facebook Abdul Hadi pada Sabtu lalu dan ia turut diulas dalam artikel yang diterbitkan portal berita New Straits Times pada tarikh 8 Julai 2023.
Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Suresh Kumar G Suppiah berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan siasatan masih dijalankan, Suresh menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses itu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa, DAP menyambung usaha mahu menghapuskan ketuanan Melayu dan Bumiputera yang dirancang oleh penjajah British terhadap umat Islam.
Beliau antaranya mendakwa DAP mahu mengekalkan maksud Islam dalam Perlembagaan mengikut acuan penjajah dengan mempertahankan konsep liberalisme dan kebebasan yang diperjuangkan Barat.
Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2023/07/09/dap-mahu-kekalkan-maksud-islam-ikut-acuan-penjajah/