Polis tahan tiga lelaki bantu siasatan pukul anjing sampai mati
Tindakan tegas terhadap pihak pukul binatang tanpa alasan munasabah

BALIK PULAU, 21 Zulhijjah 1444H, Isnin – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seekor anjing diseksa sehingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung di sini, yang video insiden itu tular semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tiga lelaki berusia 40 hingga 53 tahun itu ditahan antara pukul 11.45 malam tadi dan 1 pagi ini di sekitar Batu Maung, hasil risikan dan intipan yang dijalankan.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada ejen kargo, nelayan dan pemandu bas, direman sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
”Siasatan awal mendapati tiga lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing juga mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khaw berkata, terdahulu polis telah mengesan satu video dan artikel berhubung kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 8.38 malam Jumaat lepas, yang menyaksikan seekor anjing dipukul hingga mati.
”Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu telah disaksikan seorang pengadu dan dia telah merakamkan insiden itu sebelum menghantar klip video berkenaan kepada rakannya di Petaling Jaya, dan ia menjadi tular menerusi akaun Twitter,” katanya.
Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan yang munasabah, dan beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan video insiden berkenaan. – Bernama