Berita Utama

Tak mustahil harga barang naik jika nilai ringgit terus turun: Penganalisis

Bukan lagi masa salahkan pemerintah terdahulu, rakyat mahu lihat rancangan kerajaan empat tahun ke hadapan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Zulhijjah 1444H, Isnin – Tidak mustahil laporan jangkaan harga barangan meningkat sehingga 20 peratus bermula Ogos ini menjadi kenyataan, jika kerajaan tidak mengambil langkah serius memulihkan nilai mata wang negara.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Abu Sufian Yaacob berkata, keadaan itu adalah sesuatu yang realistik boleh berlaku memandangkan kemerosotan nilai ringgit mendorong inflasi import pada kadar tinggi.

Beliau berkata, meskipun ianya sekadar jangkaan, beliau bimbang rakyat terpaksa berdepan dengan keadaan yang lebih sukar pada bulan mendatang jika tiada langkah awal diambil oleh pihak kerajaan.

“Saya tak nafikan risiko kenaikan itu ada, melihat kepada nilai mata wang negara kita. Maknanya dia punyai nilai untuk barang import itu naik, jadi kita akan jual mahal lagi.

“Saya tak nafikan kita punya duit menurun, jika kerajaan tidak pulihkan nilai ringgit maknanya jangkaan harga barangan naik 20 peratus itu boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa laporan media tempatan pada Ahad yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil mempertikaikan laporan berkenaan, dan menegaskan kadar inflasi negara setakat ini menunjukkan trend penurunan selain beberapa petunjuk ekonomi pada 2023 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini bahawa dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus. Macam mana dia tilik, dia rujuk, Nujum Pak Belalang ke dia ini, bulan Ogos harga akan naik,” kata Fahmi.

Mengulas perkara itu, Dr Abu Sufian meminta kerajaan untuk mengambil langkah serius dan menyeluruh dari segi jangka panjang dan pendek dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan harga barangan.

“Saya harap kerajaan kena tengok apa langkah-langkah yang perlu diambil untuk sekurang-kurangnya mempertahankan harga barangan sedia ada ketika ini, atau lebih baik jika diturunkan lagi.

“Ini bukan lagi masa untuk kerajaan menyalahkan pemerintahan terdahulu, sebaliknya rakyat mahu melihat rancangan yang dirangka mereka untuk tempoh empat tahun ke hadapan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button