Al-Quran dibakar, dibuang di depan masjid di Jerman
Persatuan masjid fail aduan jenayah, siasatan dilakukan

BERLIN, 22 Zulhijjah 1444H, Selasa – Selepas Sweden, tindakan anti-Islam merebak ke barat daya Jerman di mana senaskhah al-Quran dibakar dan dicampak di hadapan sebuah masjid di negara itu.
Pertubuhan Turkiye-Islam, DITIB pada Isnin berkata, kitab suci itu dicampak dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak di hadapan Masjid Mimar Sinan di bandar Maulbronn, terletak di negeri Baden-Wurttemberg.
Pengarah Persatuan Masjid, Osman Adibeli berkata, kejadian berlaku pada malam Sabtu, 8 Julai lalu.
“Selepas kejadian itu, apabila kami meneliti rakaman pengawasan masjid kami, kami melihat objek dicampak di hadapan masjid dari sebuah kenderaan di jalan utama.
“Sekitar jam 4.45 pagi (waktu tempatan), jemaah yang datang untuk solat Subuh menyedari al-Quran yang dibakar di pintu masuk masjid,” katanya.
Osman berkata, pihaknya telah memfailkan aduan jenayah berhubung kejadian itu, namun disebabkan pantulan lampu hadapan kenderaan menghampiri bahagian masjid, mereka tidak dapat mengenalpasti nombor plat kereta serta bilangan pelaku yang terbabit dalam perbuatan berkenaan.
Sambil meluahkan rasa kecewa dan kebimbangan terhadap serangan Islamofobia itu, beliau memaklumkan bahawa siasatan telah dilakukan.
Insiden itu berlaku berikutan beberapa tindakan membakar atau menghina al-Quran di pelbagai negara Eropah, termasuk di Sweden baru-baru ini – yang mendapat kebenaran pihak berkuasa sehingga menimbulkan kemarahan antarabangsa.
Pemimpin dan ahli politik Islam menegaskan bahawa penghinaan dan provokasi seperti itu tidak dilindungi oleh undang-undang kebebasan bersuara. – Agensi