Fahmi dalam ‘denial syndrome’, cuba nafi kelemahan kerajaan
Takut dengan bayang-bayang sendiri bila berlaku kegawatan ekonomi di bawah pentadbiran Anwar

BANGI, 22 Zulhijjah 1444H, Selasa – BERJASA menganggap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil seolah-olah masih berada dalam ‘sindrom penafian’ apabila mempertikai beberapa laporan media tempatan pada Ahad yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini.
Ketua Pemudanya, Fahmi Bazlan berkata, kenyataan menteri itu seakan-akan takut terhadap bayang-bayang sendiri yang menampakkan situasi kegawatan ekonomi kini serius berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Atas sebab itu, beliau melihat Fahmi seperti berada dalam ‘denial syndrome’ yang ingin menafikan segala kelemahan kerajaan kini sehingga tidak dapat menerimanya.
“Fahmi Fadzil sepatutnya sedar bahawa kegawatan ekonomi ini sememangnya berlaku di Malaysia sehingga menjejaskan nilai mata wang ringgit.
“Saya hairan mengapa beliau berkata ini satu tilikan yang tidak berasas kerana menampakkan beliau ini tidak merasai realiti yang sebenarnya,” katanya.
Terdahulu, Fahmi mempertikaikan beberapa laporan media tempatan yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini, dan menegaskan kadar inflasi negara setakat ini menunjukkan trend penurunan, selain beberapa petunjuk ekonomi pada 2023 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini bahawa dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus. Macam mana dia tilik, dia rujuk, Nujum Pak Belalang ke dia ini, bulan Ogos harga akan naik,” kata Fahmi.
Mengulas perkara itu, Fahmi Bazlan berkata, ia bukan penafian kali pertama dibuat Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu, kerana sebelum ini kenyataan hampir sama pernah dilontarkan beliau membabitkan isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dengan menuduh media memetik isu yang boleh menimbulkan fitnah serta berniat jahat.
“Beliau harus faham menjadi tanggungjawab ahli dan penganalisis ekonomi untuk melakukan ‘forecast’ bagi kegunaan institusi-institusi kewangan dan pelaburan seterusnya menjadi input maklumat kepada pelabur luar sekali.
“Adakah di sini beliau ingin mengatakan analisis yang dibuat oleh ahli ekonomi itu sebagai satu tilikan? Itu kenyataan yang bodoh dan tidak wajar kerana menafikan tugas dan dapatan mereka seakan menampakkan kita menolak maklumat yang diyakini kesahihannya daripada ahli di dalam sesuatu bidang itu,” katanya.