Berita Utama

Kerajaan digesa percepat Akta Pendanaan Politik

Tambah baik sistem SPRM khususnya proses lantikan Ketua Pesuruhjaya

BANGI, 22 Zulkaedah 1444H, Selasa – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melihat Akta Pendanaan Politik adalah isu penting dalam pembaharuan undang-undang negara.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu berpandangan, penggubalan undang-undang itu perlu dipercepatkan memandangkan draf rang undang-undang mengenai pendanaan politik sudah siap sejak tahun 2017 lagi.

“Meskipun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengatakan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan jawatankuasa pilihan Parlimen, penting untuk mempercepat proses pembaharuan dalam bidang ini yang siap draf sejak 2017.

“Undang-undang mengenai pendanaan politik yang lebih ketat dan telus akan membantu mencegah penyalahgunaan kuasa, mengawal pengaruh kewangan dalam politik dan memastikan proses politik yang lebih adil dan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, MCW berpandangan, idea untuk memperluas Sekyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kepada penjawat awam adalah satu usaha yang penting bagi mengawal budaya rasuah.

Katanya, transformasi undang-undang melalui penerapan perkara liabiliti korporat kepada penjawat awam akan memberi kesan besar dalam meningkatkan akauntabiliti dan mencegah rasuah dalam sektor awam.

“Ia pasti memberikan kesan pencegahan segera dan menyediakan hukuman yang lebih tegas terhadap penjawat awam yang terbabit dalam aktiviti rasuah.

“Keputusan untuk melaksanakan perubahan ini harus melalui proses kajian dan perbincangan yang komprehensif untuk memastikan kesesuaian dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai keperluan mendesak dalam reformasi undang-undang, MCW menggariskan empat perkara antaranya memperbaiki sistem perundangan untuk memastikan keadilan dan keberkesanan dalam sistem kehakiman negara.

Ini termasuk penyediaan sumber manusia dan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk mahkamah, pengurangan kelewatan dalam proses undang-undang dan pembaharuan dalam pendekatan kepada pembebasan bersyarat dan alternatif kepada hukuman penjara.

“Menguatkuasakan perlindungan hak asasi manusia dan menghapuskan undang-undang yang berpotensi menindas atau membatasi kebebasan individu.

“Ini termasuk pemantauan dan pemeriksaan semula undang-undang yang berkaitan dengan kebebasan bersuara, berkumpul dan beragama. Selain itu, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perundangan.

“Ini termasuk meningkatkan pemantauan terhadap tindakan pihak berkuasa, mengurangkan ruang berlakunya rasuah dalam sistem perundangan dan memastikan proses undang-undang yang terbuka,” katanya.

MCW juga berharap, sistem Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditambah baik khususnya yang membabitkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pemberian kuasa autonomi serta diiktiraf sebagai sebuah badan berperlembagaan sendiri di bawah Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button