Berita Utama

PAS masih ketandusan pemimpin muda kelompok profesional

Ketengahkan muka baharu sebagai nilai tambah pada parti

BANGI, 22 Zulhijjah 1444H, Selasa –  Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan bakal menyaksikan pertembungan kedua terbesar antara pakatan politik di negara ini selepas PRU15.

Bezanya, pertembungan kali ini akan lebih menjurus kepada satu lawan satu antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menghadapi Perikatan Nasional (PN).

Atas sebab itu, PAS tidak boleh mengambil mudah pilihan raya kali ini kerana ia adalah peluang parti itu untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka selepas mendapat kejayaan terbesar dalam PRU lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, kini menjadi keperluan untuk PAS mengetengahkan muka baharu bagi menonjolkan tokoh muda sebagai pemimpin pelapis.

“Namun, setakat ini, PAS Kelantan masih ketandusan pemimpin muda daripada kelompok profesional yang dapat memberi nilai tambah kepada parti dan merapatkan jurang dengan pimpinan berpendidikan agama.

“Justeru, PRN ini, PAS patut memberi peluang menampilkan anak muda bakal menjadi pemimpin masa depan mereka,” katanya menulis rencana di Berita Harian. 

Selain itu, ruang kempen kali ini bakal menjadi medan untuk kerajaan negeri pimpinan PAS ini diserang dengan isu pentadbiran yang hingga hari ini masih tidak berkesudahan.

Paling besar katanya, isu masalah air, pembangunan setempat, pengangguran dan tuduhan kronisme menerusi pelantikan jawatan dalam kerajaan dan syarikat kerajaan negeri.

“Walaupun PAS dan PN mungkin tidak menghadapi masalah besar mempertahankan kerajaan negeri, mereka perlu berusaha menjawab isu berkenaan kerana ia akan memberi kesan kepada kepercayaan rakyat terhadap mereka,” katanya.

Dr Che Hamdan berkata, peralihan kuasa dalam mana-mana parti politik bukan proses mudah kerana sama ada ia bakal mencetuskan perselisihan antara fraksi sedia ada dalam parti mahupun menimbulkan fraksi baharu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button