Tengku Zafrul ‘over-excited’ respon laporan tak tepat, sinis Tun M
Negara takkan membangun jika tandatangan MoU pelaburan tanpa keputusan muktamad

BANGI, 22 Zulkaedah 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz terlalu ‘over-excited’ dalam memberi respon terhadap laporan tidak tepat, berhubung kenyataannya bertemu pelabur yang mahu melabur sehingga RM500,000 bilion di Langkawi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataannya berhubung perkara itu telah disalah lapor oleh akhbar, namun telah diperbetulkan pihak penerbit tanpa sebarang permintaan dibuat daripadanya.
Dalam kenyataan beliau yang sebenar, menurut Dr Mahathir, pelaburan dinyatakannya itu adalah sebanyak RM500 juta telah dimuat naik menggantikan laporan asal.
“Agaknya sebelum sempat akhbar itu lakukan pembetulan, Tengku Zafrul tanpa berlengah telah memuat naik di video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia, dan zaman saya jadi PM pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 bilion.
“Jika sifat ‘over-excited’ Tengku Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi negara yang kelam dan muram ini dapat diatasi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul meminta Dr Mahathir mendedahkan butiran pelabur yang didakwanya mahu melabur sehingga RM500 bilion di Langkawi.
“Anda tahu tak, dalam sejarah pelaburan, jumlah pelaburan diluluskan tertinggi ialah RM309 bilion setahun. Sejak Malaysia merdeka sampai sekarang, tak pernah ada pelaburan tinggi sampai RM500 bilion. Masa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri pun, tak pernah ada pelaburan diluluskan setinggi itu.
“Kena ingat juga, RM309 bilion ini adalah jumlah keseluruhan pelaburan yang dihimpunkan dari pelbagai sumber, bukan dari satu pelabur saja dan pelaburan ini adalah untuk seluruh Malaysia dan bukan hanya di satu lokasi,” kata Tengku Zafrul.
Membidas kembali bekas Menteri Kewangan itu, Dr Mahathir pula meminta Tengku Zafrul memperincikan pelaburan yang telah masuk dan dimuktamadkan di Malaysia sejak beliau menjadi menteri di bawah pentadbiran sekarang.
“Kalau setakat buat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan MoU berkait pelaburan tanpa keputusan yang muktamad tidak akan membangun ekonomi negara.
“Ada orang yang tanya jika saya kenal siapa Tengku Zafrul. Saya bagitau tak begitu kenal secara peribadi tetapi saya dengan cerita pasal dia termasuk dia menyanyi kugiran sebelum Pilihan Raya ke-14 sokong kerajaan kleptokrasi,” katanya.