Berita Utama

Bukan Islam paling banyak beri rasuah adalah fakta: Sanusi

DAP main naratif pemimpin Melayu tak boleh dipercayai kerana rasuah, walhal bukan Melayu paling banyak ditangkap

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1444H, Rabu – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, orang bukan Islam adalah yang paling banyak ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mendakwa apa yang diperkatakannya adalah benar dan fakta.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Tok Guru yang berhujah bahawa bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah punca berlakunya rasuah di Malaysia.

Ketika ditanya bekas pemimpin UMNO, Shahril Hamdan mengapa isu itu disentuh dan dibangkitkan Tok Guru, Sanusi menegaskan, DAP adalah pihak yang mula memainkan naratif bahawa pemimpin Melayu terlibat dalam rasuah.

“Saya pegang (pendirian) sama macam Tok Guru (Abdul Hadi) selagi saya benar, saya cakap. Pergi tengok rekod orang ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima, ramai (orang) bukan Islam. Itu fakta dan benar.

“Sebab pada ketika kenyataan itu dikeluarkan, DAP memainkan (dakwaan) pemimpin Melayu ini rasuah. Semua ini pemimpin Melayu tak boleh dipercayai.

“(Mereka kata) Lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah. Tetapi bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam,” katanya dalam program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan secara dalam talian malam tadi.

Pada September tahun lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki mendakwa satu kajian peringkat kedoktoran (PhD) sebuah universiti tempatan menunjukkan 88 peratus daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah antara 2010 hingga 2014 adalah bukan Melayu.

Menurutnya, kajian tersebut mendedahkan 57.46 peratus daripada pemberi rasuah yang didapati bersalah adalah daripada kaum Cina; 30.51 peratus (India); dan 12.03 peratus (Melayu).

Katanya, dapatan kajian tersebut telah diterbitkan di dalam sebuah jurnal antarabangsa yang berwibawa di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, dapatan kajian itu juga menyebut antara faktor utama pemberi rasuah melakukan penyogokan adalah kerana mahu melepaskan diri daripada hukuman sama ada berupa denda atau penjara.

Faktor lain, katanya, adalah kerana ingin mendapatkan keutamaan dalam sesuatu keputusan oleh agensi kerajaan seperti berkaitan tender perolehan dan sebagainya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button