Ayam halal selagi tak diberikan babi sebagai makanan: Mufti
Ternakan ayam perlu dibasuh dengan bersih untuk kekalkan status halal

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 24 Zulhijjah 1444H, Khamis – Orang ramai tidak perlu bimbang dengan ayam yang diternak bersama babi berikutan ternakan ayam itu kekal halal dan boleh dimakan jika memenuhi syarat.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, selagi ayam itu tidak diberikan babi sebagai makanan, ternakan ayam itu masih bersih dan halal.
“Melainkan ayam itu diberikan makanan babi menyebabkan ia terus menjadi haram namun saya yakin ternakan ayam itu diberikan makanan yang khusus,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan terdapat sebuah ladang di Seberang Perai yang menternak babi bersama ayam di dalam satu kawasan yang sama.
Bagaimanapun, DVS mendapati ayam yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual di pasaran bukan Islam sahaja serta tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain.
Sejak Ahad lalu, tular satu video yang memaparkan satu ladang yang menternak ayam dan khinzir dipercayai di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman menjelaskan, tindakan berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan boleh menyebabkan makruh sekiranya ayam berkenaan terkena ternakan babi.
Justeru, beliau menjelaskan ternakan ayam berkenaan perlu dibasuh dengan bersih bagi mengekalkan status halal walaupun hanya terkena najis babi memandangkan penempatan ternakan di kawasan yang sama.
Pada masa sama sama beliau menggesa pemantauan yang tegas oleh pihak berkuasa supaya kejadian sama tidak berulang walaupun ternakan ayam berkenaan dijual kepada bukan Islam sahaja.