Berita Utama

30 peratus calon BN Kedah muka baharu

Ambil kira semua faktor termasuk personaliti disenangi rakyat

ALOR SETAR, 24 Zulhijjah 1444H, Khamis – Lebih 30 peratus calon Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos depan terdiri daripada muka baharu.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, proses pemilihan calon akan mengambil kira individu boleh diterima oleh ahli parti dan pengundi di setiap kawasan.

“Insya-Allah akan ada gabungan senior dan muka baharu dengan lebih 30 peratus calon kami adalah baharu.

“Kita akan mengambil kira semua faktor termasuk personaliti yang disenangi oleh parti dan rakyat,” katanya kepada pemberita.

BN pimpinan UMNO dijangka bertanding sehingga 16 kerusi DUN pada PRN akan datang berikutan rundingan pembahagian kerusi dengan PH.

Mahdzir, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah melahirkan keyakinan bahawa jentera pilihan raya PH-BN sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Sudah tentu gabungan ini masih baharu tetapi dalam tempoh lapan bulan ini kita telah berjaya menjalinkan kerjasama mesra sehingga ke peringkat akar umbi.

“Ini yang mereka (Perikatan Nasional) bimbang… mereka tidak mahu kerjasama antara PH dan BN ini berfungsi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button