Hujan monsun di utara India ragut 100 nyawa
Guna helikopter pindahkan penduduk yang terkandas

NEW DELHI, 25 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Hujan monsun yang berlaku di beberapa negeri India memaksa sekolah dan kolej ditutup berikutan banjir besar sehingga mengorbankan lebih 100 penduduk dalam tempoh dua minggu.
Sekurang-kurangnya 88 orang maut dan 42 daripadanya berlaku dalam tempoh lima hari, manakala lebih 100 cedera di negeri Himachal Pradesh yang paling teruk dilanda bencana tersebut.
Pihak berkuasa terpaksa menggunakan helikopter untuk menyelamatkan hampir 300 orang, kebanyakannya pelancong, yang terkandas di kawasan Chandertal di negeri Himachal Pradesh sejak Sabtu.
Sehingga kini lebih 170 rumah runtuh dan 600 lagi sebahagiannya rosak akibat hujan lebat dan tanah runtuh di negeri ini, kata pusat operasi kecemasan negeri.
Di New Delhi, kawasan perumahan berhampiran Sungai Jamun turut dinaiki air telah menenggelamkan jalan raya, kereta dan rumah.
Situasi itu menyebabkan ribuan orang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang disediakan pihak berkuasa.
Agensi cuaca India telah meramalkan lebih banyak hujan lebat di bahagian utara dalam beberapa hari akan datang.
Pihaknya menjelaskan hujan monsun di seluruh negara itu telah membawa kira-kira dua peratus lebih daripada taburan hujan biasa. – Agensi