Merepek! MP DAP mahu penceroboh tanah diberi geran
Apa sudah jadi, 'rule of law' dan tata kelola sudah ke laut!

SAYA hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam bersama rakan-rakan gabungan pelbagai NGO-NGO tempatan negeri Pahang anjuran PEMBELA bagi membuat laporan polis beramai-ramai terhadap Ahli Parlimen Raub (DAP) yang mencadangkan agar kerajaan memberikan penceroboh-penceroboh geran tanah.
Kita melihat bahawa ini merupakan langkah bagi mensucikan dan menghalalkan tindakan pencerobohan tanah di bumi Pahang khususnya daerah Raub.
Bayangkan, berpuluh tahun menceroboh dan lakukan jenayah pencerobohan hutan simpan di Pahang, tiba-tiba, Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yui Hui, cadang supaya mereka diberikan geran kononnya atas alasan hak asasi manusia. Sangat merepek, tapi ianya benar-benar berlaku.
Tidak cukup dengan itu, rujukan panggilan terhadap mereka kini sudah bertukar dan dinormalisasikan dari ‘Penceroboh Haram’ kepada ‘Pekebun Tanpa Geran’. Padahal tindakan yang dilakukan mereka sejak puluhan tahun lalu ialah satu bentuk pencerobohan kepada Hutan Simpan Kekal.
Kali ini, Ahli Parlimen tersebut menuntut supaya geran kepada tanah yang diceroboh diberikan kepada ‘pekebun tanpa geran’ tersebut.
Bukankah kita semua berpegang dengan prinsip-prinsip Rukun Negara mengenai Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang? Mana kedaulatan undang-undang jika yang melanggar mahu diberikan keistimewaan dan disucikan perbuatan melanggarnya dengan gelaran-gelaran yang dilembutkan dari masa ke masa?
Rule of Law dan Tatakelola sudah jadi ke laut!
Atas sebab ini, kita bersama-sama lebih 50 buah NGO dan rakyat tempatan berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di sini untuk membuat laporan polis.
Haji Aminuddin Yahaya