Berita Utama

Pemuda UMNO akui kekok kongsi pentas dengan PH

Anggap permulaan untuk kerjasama: Dr Akmal

BUKIT MERTAJAM, 26 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Selepas sekian lama menjadi seteru kepada DAP, UMNO mengakui agak kekok apabila berkongsi pentas buat pertama kali pada Pentas Anak Muda Madani Pulau Pinang, semalam.

Pengakuan itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh ketika hadir ke program berkenaan bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau bagaimanapun menganggap perkongsian ini sebagai permulaan untuk bekerjasama.

“Ini adalah pentas pertama kita dengan PH di peringkat nasional yang bermula di Parlimen Permatang Pauh.

“Semestinya kekok, jika tak kekok tu, saya rasa bohonglah. Ini kerana, kita tidak pernah kongsi pentas bersama Kerajaan PH.

“Bagaimanapun, semuanya akan bermula dengan langkah pertama. Moga langkah pertama ini dapat memberi manfaat kepada rakyat, bukan saja kepada parti politik tetapi kepentingan orang muda hari ini dan bagaimana kita mahu majukan rakyat,” katanya.

Program berkenaan dihadiri lebih 200 orang yang diadakan di Bilik Gerakan Utama N12 Penanti di Guar Perahu, yang menampilkan beberapa pemimpin.

Ia terdiri daripada beberapa pemimpin antaranya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim; Naib Ketua Angkatan Muda Harapan, Young Syefura Othman dan wakil daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil.

Pada masa sama, Dr Akmal berharap sokongan yang ditampilkan anak muda di Pulau Pinang perlu dikekalkan sehingga hari pengundian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button