Berita UtamaDunia

Turkiye harap perjanjian bijirin Laut Hitam disambung

Mampu selesai masalah negara Afrika miskin terima bekalan dari Ukraine

ISTANBUL, 26 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sekali lagi menyuarakan harapan supaya perjanjian bijirin Laut Hitam yang akan berakhir Isnin ini dapat dilanjutkan tempoh.

Katanya, pelanjutan tempoh perjanjian berkenaan mampu menyelesaikan masalah negara-negara Afrika yang miskin dalam menerima bekalan daripada Ukraine.

“Kami sedang bersedia menjadi tuan rumah di Turkiye pada Ogos depan dan berharap perjanjian koridor Laut Hitam akan diteruskan.

“Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar surat kepada Presiden Russia, Vladimir Putin dan memberi jaminan lanjutan perjanjian koridor bijirin dengan usaha kami bersama dengan Russia,” katanya.

Sebelum ini, Putin menawarkan untuk menghantar bijirin-bijirin kepada negara-negara miskin secara percuma.

Tahun lalu, Turkiye, PBB, Russia dan Ukraine menandatangani perjanjian di Istanbul untuk menyambung semula eksport bijirin dari tiga pelabuhan Laut Hitam Ukraine yang telah dihentikan sementara susulan pencerobohan Russia-Ukraine, Februari tahun lalu.

Pusat Penyelarasan Bersama telah ditubuhkan di Istanbul dengan pegawai dari tiga negara dan PBB untuk mengawasi penghantaran.

Kapal pertama yang membawa bijirin di bawah perjanjian bersejarah itu berlepas pada Ogos dari pelabuhan Ukraine Odessa.

Bagaimanapun, Russia memberi bayangan bulan ini untuk tidak meneruskan perjanjian berkenaan berikutan merasakan sebahagian daripada penjanjian untuk membenarkan eksport Russia tidak dipenuhi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button