Hamzah sindir Anwar konon pejuang rakyat
PRN perlu jadi referendum tolak Kerajaan Madani

BANGI, 27 Zulhijjah 1444H, Ahad – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyindir kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah lagaknya menjadi pejuang rakyat.
“Ada pihak semasa berucap di PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya) kata ‘antara ringgit jatuh sedikit dengan beban kepada rakyat, saya pilih untuk menyelamatkan rakyat daripada kedudukan ringgit’.
“Ewah-ewah lagak lakon kononnya dialah pejuang rakyat tapi soalan paling mudah ialah kalau ringgit jatuh, beban tu siapa yang tanggung? Bukankah rakyat?” bidasnya.
Membidas lagi, beliau turut membangkitkan isu inflasi yang memberi kesan kepada rakyat susulan kejatuhan nilai mata wang tempatan.
“Inflasi import naik disebabkan ringgit jatuh siapa tanggung? Bukankah rakyat?
“Harga barang makanan naik siapa yang tanggung? Yang terbeban tetap juga rakyat.
“Sebab itu PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri ini perlu dijadikan referendum rakyat untuk tolak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” katanya.
Sebelum ini, Anwar menjelaskan beliau memilih untuk menyelamatkan rakyat daripada menaikkan kadar faedah dalam menjaga kedudukan ringgit.
Jelasnya, beliau akan membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat.
“Jadi kalau tanya saya sebagai yang bertanggungjawab, di antara ringgit jatuh sedikit dengan beban kepada rakyat saya pilih untuk menyelamatkan rakyat daripada kedudukan ringgit,” katanya.