Berita UtamaDunia

Hujan lebat di Korea Selatan ragut 31 nyawa

Bencana dijangka lebih banyak berlaku di semenanjung

SEOUL, 27 Zulhijjah 1444H, Ahad – Lima mayat yang terperangkap bawah terowong ditenggelami hujan lebat di Korea Selatan telah ditarik keluar pada Ahad, kata pihak berkuasa.

Kes kematian itu menjadikan angka korban akibat bencana yang melanda negara itu meningkat kepada 31 orang.

Semua mayat itu ditemui dari sebuah bas yang telah ditenggelami air di laluan bawah banjir di Cheongju pada Sabtu, selepas pekerja penyelamat memulakan operasi mencari dalam air awal Ahad, kata pegawai.

Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan sebelum ini berkata, sekurang-kurangnya 26 maut dan 10 yang lain hilang setakat 6 pagi (2100 GMT pada Sabtu) apabila hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir di seluruh negara, dengan pemindahan meliputi 7,540 orang.

Korban akibat terowong yang ditenggelami air itu tidak dimasukkan dalam data kementerian kerana tidak jelas berapa ramai mangsa dan kereta yang terperangkap di dalam air.

“Kami memberi tumpuan kepada operasi mencari kerana kemungkinan terdapat lebih ramai orang di sana,” kata Ketua Balai Bomba Cheongju barat, Seo Jeong-il kepada pemberita.

Presiden Yoon Suk Yeol, kini dalam perjalanan ke luar negara, mengarahkan Perdana Menteri, Han Duck-soo untuk menggerakkan semua sumber yang ada bagi meminimumkan korban, kata pejabatnya.

Ini kerana hujan lebat dijangka lebih banyak berlaku di semenanjung Korea pada Ahad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button