Berita Utama

Jawi perjelas isu kuliah Azhar Idrus ditangguh

Masjid maklumkan berkait proses susunan semula jadual penceramah

BANGI, 27 Zulhijjah 1444H, Ahad – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjelaskan program kuliah penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan.

Justeru, Jawi dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa isu pembatalan adalah tidak berbangkit sama sekali.

Menurut Jawi, jabatan itu dimaklumkan bahawa pihak masjid telah membuat pemakluman penangguhan undangan kepada pihak penceramah lebih awal, bagi proses penyusunan semula jadual pengkuliahan membabitkan penceramah serta tenaga pengajar mengambil kira beberapa acara utama.

“Kami berpandangan agar sebarang isu yang timbul dapat ditangani secara harmoni berlandaskan semangat persaudaraan antara semua pihak.

“Bagi pihak Jawi, kami komited untuk memastikan institusi masjid dan surau terus berperanan sebagai pengkalan ibadah, pusat ilmu dan penyatuan masyarakat.

“Ini berdasarkan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 dan Garis Panduan Program Pengajian Serta Pengimarahan Masjid dan Surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, pengendali akaun Facebook Ustaz Azhar dalam satu hantaran memohon maaf kerana terpaksa membatalkan kuliah Maghrib penceramah terkenal terbabit.

Menerusi hantaran itu, pengendali akaun terbabit mendakwa pembatalan itu dibuat atas arahan daripada pihak tertentu.

“Dukacita dimaklumkan bahawa kuliah Maghrib perdana, UAI yang akan diadakan di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak pada 16 Julai terpaksa dibatalkan atas arahan pihak tertentu.

“Mohon maaf kepada warga Kuala Lumpur dan rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di tempat anda,” tulis pengendali akaun itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button