Dunia

Eropah berdepan cuaca panas melampau

Ada kawasan dijangka cecah suhu hingga 49 darjah Celsius

ROM, 28 Zulhijjah 1444H, Isnin – Itali mengeluarkan amaran peringkat merah ke atas 16 bandar akibat cuaca panas melampau pada Ahad, dengan pakar meteorologi memberi amaran suhu mencecah ke paras tertinggi di seluruh selatan Eropah beberapa hari lagi.

Sepanyol, Itali dan Greece mengalami suhu terik sejak beberapa hari, sehingga merosakkan pertanian dan menjejaskan pergerakan pelancong.

Rom, Florence dan Bologna adalah antara kawasan yang terjejas gelombang haba, selain pakar menjangkakan Sicily serta Sardinia boleh mencapai suhu sehingga 49 darjah Celsius – yang akan menjadi suhu paling panas pernah direkodkan di Eropah.

Amaran peringkat merah bermakna orang yang sihat juga berisiko terkesan haba, dan kerajaan Itali telah menasihatkan penduduk berada di kawasan tertutup supaya mengelakkan dari cahaya matahari antara jam 11 pagi hingga 6 petang.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, suhu di Greece mencecah 40 darjah Celsius dan lebih, menyebabkan sukarelawan mengedarkan botol air minuman di tapak pelancong.

Pihak berkuasa juga mengambil langkah menutup sementara Acropolis di Athens pada Jumaat ketika suhu direkodkan paling panas, bagi melindungi pengunjung daripada cuaca terik. Difahamkan, penutupan itu berterusan sehingga Sabtu.

Terdapat juga kebimbangan bahawa gelombang haba boleh mencetuskan kebakaran hutan di negara itu, justeru kerajaan Greece telah mengumumkan rancangan kecemasannya.

Malah, buat pertama kalinya pihak berkuasa mengeluarkan larangan bekerja ke atas individu di sektor pembinaan dan penghantaran, khususnya pada waktu puncak.

Suhu tinggi dijangka berterusan hingga minggu depan, di mana Agensi Angkasa Eropah (ESA) meramalkan Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Poland mungkin merekod suhu melampau.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button