Berita UtamaDunia

Hamas tak mampu bayar gaji pekerja selepas Qatar tangguh bantuan

Lonjakan perbelanjaan jadikan keadaan lebih sukar

GAZA, 28 Zulhijjah 1444H, Isnin – Pemerintah Semenanjung Gaza – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – tidak berupaya membayar gaji 50,000 pekerja sektor awam, dengan pegawai sebahagiannya menyalahkan kelewatan pemberian gaji bulanan daripada Qatar.

Krisis gaji telah mencetuskan jumlah kritikan luar biasa di media sosial di Gaza, termasuk oleh beberapa pekerja Hamas sendiri.

Penurunan hasil cukai dan lonjakan dalam perbelanjaan telah menjadikan keadaan lebih sukar.

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan dan ekonomi bergantung kepada bantuan asing.

Qatar – penderma bantuan penting kepada kawasan Palestin yang miskin – telah membayar ratusan juta dolar sejak 2014 untuk projek pembinaan.

Pada masa ini negara itu membayar AS$30 juta sebulan sebagai elaun untuk keluarga, bahan api untuk elektrik dan untuk membantu membayar gaji sektor awam.

Pegawai Hamas berkata, tiada bantuan gaji diterima sejak lebih separuh daripada geran AS$5 juta untuk menyokong senarai gaji Mei.

Sebab penangguhan itu juga tidak jelas.

Di Doha, Pejabat Media Antarabangsa Qatar tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas isu itu.

“Kerajaan sedang melalui krisis kewangan yang menyekat dan semakin meruncing, dengan peningkatan berterusan dalam defisit bulan demi bulan, yang menyebabkan kelewatan gaji bulan ini,” kata Timbalan Setiausaha Kementerian Kewangan, Awni al-Basha kepada radio Hamas Aqsa.

“Kami sedang melakukan usaha besar untuk membayar gaji dan kami berharap dapat melakukannya pada akhir minggu ini,” katanya.

Bayaran gaji bulanan Hamas 125 juta shekel (AS$34.5 juta) sebulan, kata Basha.

Pada Ahad, Pengerusi Pejabat Media kerajaan Hamas, Salama Marouf berkata, terdapat juga peningkatan dalam perbelanjaan, khususnya untuk Kementerian Kesihatan dan pembayaran balik hutang bank.

Beliau menggesa Qatar untuk meningkatkan pemberian gaji kepada AS$7 juta.

Gaza berada di bawah sekatan Israel-Mesir sejak 2007 apabila Hamas – yang menentang perdamaian dengan Israel – mengambil alih kawalan.

Kakitangan sektor awam tidak menerima gaji penuh sejak 2013. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button