Dunia

Korban banjir di Korea Selatan cecah 37, sembilan masih hilang

Ada mangsa tertimbus tanah runtuh, terjatuh ke takungan

SEOUL, 28 Zulhijjah 1444H, Isnin – Jumlah kematian akibat hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Korea Selatan meningkat kepada 37 orang, sementara sembilan lagi masih hilang.

Pasukan penyelamat juga dilaporkan bertungkus-lumus untuk menjejak 10 kereta dan mangsa yang tidak diketahui terperangkap dalam terowong bawah tanah sepanjang 430 meter di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara.

Kementerian Dalam Negeri melaporkan bahawa 37 orang terbunuh dan sembilan lagi hilang di seluruh negara susulan hujan lebat, kebanyakannya tertimbus tanah runtuh atau terjatuh ke takungan banjir.

Katanya, lima mangsa telah diselamatkan dari sebuah bas di terowong pada Sabtu, dan sembilan mayat setakat ini dibawa keluar dari tempat kejadian.

Polis menerima laporan seramai 11 mangsa dikhuatiri hilang dipercayai berada di dalam terowong itu, namun angka rasmi masih belum diberikan kerana tidak jelas jumlah mangsa di dalam setiap kereta terperangkap.

Terdahulu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol – yang kini dalam perjalanan ke luar negara – mengadakan mesyuarat tergempar dengan pembantunya mengenai respons kerajaan.

Suk-yeol mengarahkan Perdana Menteri, Han Duck-soo untuk menggerakkan semua sumber yang ada untuk meminimumkan kemalangan jiwa.

Majoriti mangsa termasuk 19 maut dan lapan yang hilang – berasal dari wilayah Gyeongsang Utara dan sebahagian besarnya disebabkan tanah runtuh di kawasan pergunungan yang memusnahkan rumah dan penduduk di dalamnya.

Korea Selatan berada di kemuncak monsun musim tengkujuh dan terdapat hujan lebat sejak empat hari lalu, menyebabkan empangan utama melimpah.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button