PH-BN makin nampak dangkal putar belit isu MB Kedah
Henti heret kemuliaan nama baik Sultan Selangor dalam kempen

BANGI, 28 Zulhijjah 1444H, Isnin – Pemuda PAS kesal dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang terus-menerus memperlihatkan kedangkalan apabila memutar belit isu khususnya mengenai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Naib Ketuanya, Hanafi Zulkapli mendakwa, tuduhan dan pembunuhan karakter terhadap Sanusi atas kelantangan beliau membela nasib dan kemajuan masa hadapan Kedah dinafikan dan diselewengkan dengan diperlihat seolah-olah beliau menghina Institusi Kesultanan.
Walhal dakwanya, pertikaian akan kemampuan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari – yang tidak mempunyai kredibiliti – tiada kaitan dengan kedaulatan Institusi Kesultanan Selangor, selain daripada terdapat banyak rekod penghinaan dan kerendahan yang telah dipalit kepada Sanusi sendiri.
“Jika hendak diambil kira penghinaan terhadap Sultan, PH terlebih dahulu menghina Institusi Agong apabila menjalankan ‘kempen’ #notmyPM dan #kerajaangagal sehingga ada pemimpin PKR yang menuduh Agong sebagai ‘serkap jerang’.
“Adakah jika Menteri Besar Selangor mempertikaikan kemampuan Menteri Besar Kedah, secara tidak langsung Menteri Besar Selangor juga membuat tuduhan yang sama terhadap Sultan Kedah yang memperkenan Menteri Besar Kedah untuk menerajui negeri Kedah?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, dalam ucapan yang tular, Sanusi dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.
Dalam pada itu, Hanafi meminta pihak berkenaan untuk tidak terus ‘mengheret’ isu 3R (bangsa, agama dan raja).
Katanya, ia selepas pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang telah disoal siasat apabila dipercayai turut memainkan sentimen agama dalam ucapannya, dan kini para pemimpin PH-BN juga meneruskan naratif 3R dengan mengheret Sultan Selangor dalam naratif kempen mereka.
“Pemuda PAS mendesak supaya PH UmDAP berhenti mengheret kemuliaan nama baik Sultan Selangor dalam kempen politiknya dan fokus meredakan kemarahan rakyat terhadap segala penipuan dan omong kosong yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX), yang juga merupakan pemimpin utama Menteri Besar Selangor.
“Pemuda PAS akan terus mempertahan kelantangan dan keberanian Menteri Besar Kedah dalam memperjuang hak rakyat yang ditekan oleh Kerajaan Perpaduan!” tegasnya.