13 maut bangunan runtuh di Kaherah
Penduduk tingkat bawah roboh dinding untuk kerja selenggara awal disiasat

KAHERAH, 29 Zulhijjah 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya 13 orang maut apabila sebuah bangunan lima tingkat di ibu negara Mesir, Kaherah runtuh pada Isnin, lapor akhbar negara Al-Ahram.
Bangunan di daerah Hadayek el-Kobba di utara pusat Kaherah itu terletak di kawasan perumahan tidak formal yang dibina padat, di mana pekerja penyelamat mencari mangsa yang terselamat melalui runtuhan.
Susulan siasatan awal, Pendakwa Raya Mesir berkata, runtuhan itu berkemungkinan disebabkan oleh salah seorang penduduk tingkat bawah yang merobohkan beberapa dinding ketika kerja penyelenggaraan awal.
Penduduk lelaki itu ditahan dan sedang disoal siasat, katanya.
Kementerian Perpaduan Sosial Mesir mengumumkan akan memberi 60,000 pound Mesir (AS$1939) kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Kementerian juga akan menyampaikan bantuan kepada mangsa yang cedera dan memantau kerosakan harta benda berdekatan.
Bangunan runtuh adalah insiden biasa di Mesir kerana standard pembinaan yang lemah di banyak kawasan. – Agensi