Bakal tokoh Maal Hijrah sumbang pembangunan syiar Islam, negara
Pemilihan dipersetujui PM sebelum dicadang kepada Yang Di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 29 Zulhijjah 1444H, Selasa – Bakal tokoh Maal Hijrah yang akan dinobatkan sempena sambutan Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah esok, adalah individu yang telah memberi sumbangan ke arah pembangunan syiar Islam serta memberi manfaat kepada negara Islam.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria Othman berkata, tokoh yang dipilih telah dipersetujui oleh jawatankuasa induk sambutan dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Daripada segi pengisian aktiviti lain, kami mengajak seluruh umat Islam untuk berdoa sempena akhir tahun 1444 Hijrah di Masjid Negara pada 7 malam ini dan esok ada acara persembahan khas dan tausiah (nasihat) oleh pendakwah terkenal Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Program Assalamualaikum terbitan TV Al-Hijrah hari ini.
Selain Yang di-Pertuan Agong, turut dijadual berangkat pada majlis di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), esok adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir, Perdana Menteri serta 6,000 tetamu terdiri daripada pimpinan kerajaan, duta asing, pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Komunikasi Korporat Jakim, Norzaidan Hamad berkata, konsep perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum merupakan teras utama majlis sambutan esok.
Beliau berkata, rakyat perlu menghayati maksud peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah dalam sejarah Islam dan usaha baginda yang menyatukan masyarakat Islam dengan bukan Islam di Madinah.
“Semangat peristiwa penghijrahan itu perlu diterapkan di dalam masyarakat Malaysia untuk bersatu padu walaupun hidup bersama masyarakat daripada bangsa dan agama yang berlainan,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia hari ini.
Beliau berkata, walaupun kepimpinan Islam adalah agama Persekutuan namun kebaikan dan kemanisan agama Islam itu dapat dinikmati semua lapisan rakyat termasuk yang bukan beragama Islam. – Bernama