Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PAS diramal kekal perintah Kelantan

Sentimen anti-DAP kuat, peluang BN-PH bentuk kerajaan negeri sukar

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Zulhijjah 1444H, Selasa – PAS diramal mampu mengekalkan tampuk pentadbiran negeri Kelantan yang dipegangnya sejak tahun 1990 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, PAS masih mempunyai penyokong tegar di Kelantan, walaupun pelbagai isu dalaman membabitkan masalah pentadbiran berlaku sepanjang tempoh pemerintahan.

Justeru, beliau percaya masih sukar untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menawan Kelantan, apatah lagi sentimen anti-DAP begitu kuat di negeri berkenaan.

“Ketika BN tidak bekerjasama dengan DAP pun (BN) tak boleh menang di Kelantan, apatah lagi sekarang mereka bekerjasama dan menyaran supaya pengundi UMNO menyokong PH-DAP, saya rasa itu juga menghantui pengundi dan menyebabkan sokongan menjadi kurang.

“Saya berpendapat untuk BN-PH menguasai Kelantan mungkin sukar, dan kalau pun bilangan kerusi bertambah, peluang untuk membentuk kerajaan negeri itu tetap sukar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mohd Noor juga percaya perkembangan terkini membabitkan kedudukan dan tindakan parti komponen Kerajaan Perpaduan juga mempengaruhi sokongan pengundi tegar di Kelantan.

“Tindakan UMNO, DAP dan isu seperti Lembaga Tabung Haji (TH), walaupun orang lihat ia isu kecil tetapi penganalisis lihat (isu TH) perkara besar. Kemudian unsur-unsur kakitangan awam yang cuba dikurangkan dan isu kerajaan tempatan yang mula disentuh walaupun belum dibuat lagi.

“Saya rasa semua perkara ini akan mempengaruhi pengundi Kelantan supaya tidak memihak kepada BN-PH setakat ini,” katanya.

Rombak pentadbiran pasca PRN

Meskipun PAS masih mampu mempertahankan negeri itu, Dr Mohd Noor menggesa satu rombakan secara menyeluruh dibuat oleh pentadbiran baharu yang akan dibentuk pasca PRN nanti.

Beliau menegaskan, bahawa pemerintahan yang baharu perlu lebih serius menangani masalah pentadbiran yang tidak berkesudahan sejak bertahun lamanya, khususnya membabitkan pengurusan air dan sampah.

“Pentadbiran kerajaan negeri perlukan rombakan selepas PRN nanti bagi menyelesaikan permasalahan yang sudah sekian lama misalnya pemindahan milik tanah, pengurusan sampah dan pengurusan air.

“DUN perlu peka dengan pengurusan semasa dan hendaklah ada tindakan-tindakan susulan yang boleh menyelesaikan bukan satu peratus, tetapi setidaknya 50 peratus daripada masalah-masalah itu,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan negeri yang terbentuk selepas ini boleh mendapatkan nasihat daripada anak-anak Kelantan yang pakar dalam bidang tertentu, khususnya membabitkan isu pengurusan air serta pentadbiran.

“Panggil (anak Kelantan) balik dan memberi pandangan mengikut kepakaran mereka berdasarkan keperluan dalam menangani masalah di negeri itu. Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan ADUN perlu terbuka meminta pandangan pakar-pakar dalam bidang tertentu.

“Pada saya pemerintah (Kelantan) sekarang ada yang tidak suka, tetapi jumlahnya bukanlah mencapai ke tahap majoriti seperti jumlah penyokongnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button