PRK Parlimen Kuala Terengganu perlu peruntukan tambahan RM465,000
Bakal diadakan serentak dengan PRN 6 negeri pada 12 Ogos

PUTRAJAYA, 29 Zulhijjah 1444H, Selasa – Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM465,000, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
“Ini memandangkan sebahagian besar daripada anggaran kos pelaksanaannya telah diambil kira dalam pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 bagi Terengganu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRK berkenaan di sini hari ini.
PRK Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan iaitu dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu adalah yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lepas.
Abdul Ghani berkata, seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta 19 Penolong Pegawai Pengurus dilantik bagi melancarkan proses pengendalian PRK berkenaan.
Abdul Ghani berkata, seramai 1,995 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 44 buah dengan 222 tempat mengundi atau saluran,” katanya dan menambah ia melibatkan 41 pusat mengundi biasa yang mengandungi 217 tempat mengundi atau saluran dan tiga pusat mengundi awal yang mengandungi lima tempat mengundi atau saluran awal.
Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan bagi PRK berkenaan adalah sebanyak 123,575 orang.
Daripada jumlah itu, 122,160 orang merupakan pengundi biasa, 35 anggota tentera dan pasangan, 1,362 anggota polis dan 18 pengundi tidak hadir luar negara, katanya.
Abdul Ghani berkata pusat penamaan calon (PPC) yang digunakan bagi PRK itu ialah Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, berkongsi premis dengan DUN Ladang yang melaksanakan PRN Terengganu.
PPC bagi DUN Wakaf Mempelam, DUN Bandar dan DUN Batu Buruk kekal seperti lokasi yang telah ditetapkan sebelum ini.
Abdul Ghani berkata, bagi pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi PRK kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan keempat-empat DUN di bawahnya akan menggunakan Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR menerusi talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Semakan maklumat pengundian telah mula dibuka semalam memandangkan semua pengundi yang layak untuk mengundi pada PRN bagi semua DUN dalam Kuala Terengganu juga akan mengundi bagi PRK kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – Bernama