Berita Utama

Itu bukan dokumen lupus hutang Felda: Marzuki

Eloklah kerajaan ‘declassify’ minit mesyuarat untuk tatapan rakyat

BANGI, 2 Muharam 1445H, Khamis – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad mendakwa, dokumen dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dibuat pada Jun lalu.

Sebaliknya, ia adalah perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

“Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023. Ia adalah berkenaan penerbitan sukuk berjamin kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada tahun 2020.

“Sesiapa pun yang menjadi Menteri Kewangan mesti menandatangani dokumen ini. Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tidak pernah jadi Menteri Kewangan.

“Penyiaran dokumen ini mengesahkan telahan saya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan,” dakwanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Marzuki berkata, ketika kerajaan bawah pentadbiran Muhyiddin, Kabinet telah meluluskan Pelan Pemulihan Felda yang turut merangkumi pelupusan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Ia termasuk penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV Holdings Bhd (FGV) dan penyelesaian hutang Felda dengan Maybank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelan itu turut merangkumi penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada Felda oleh Kerajaan Persekutuan.

“Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan Kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka Felda, eloklah kerajaan ‘declassify’ minit mesyuarat tersebut untuk tatapan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengemukakan sebahagian dokumen ‘Assignment for Financial Service Reserve Account’ (FSRA) terkait jaminan kerajaan kepada Felda yang ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion seperti dituntut bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button