Berita Utama

Kenapa Kit Siang perlu sebut tragedi 13 Mei?

Negara sehingga kini masih selamat dan bebas tanpa ancaman kaum lain

BANGI, 2 Muharam 1445H, Khamis – Bersatu menempelak kenyataan terbaharu pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang mendakwa negara sedang terumbang-ambing ke arah rusuhan seperti tragedi 13 Mei 1969.

Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin mempersoalkan kenyataan Kit Siang yang seolah-olah memainkan sentimen perkauman.

“Negara sehingga kini masih selamat dan bebas tanpa ancaman daripada kaum-kaum lain dan bebas bergerak ke mana sahaja.

“Apa perlu Kit Siang sebut benda ini? Kenapa kena sebut ketika nak pilihan raya?,” soalnya dalam ceramah sempena Karnival Anak Muda Bangkit Selangor Baharu di Shah Alam, malam tadi.

Veteran DAP sebelum ini menerusi blog mendakwa hubungan kaum semakin merosot tahun ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti akan menunjukkan sama ada Malaysia boleh kembali kepada prinsip asal membina sebuah negara majmuk.

Dalam pada itu, Dr Afif menyifatkan kenyataan berkenaan berunsur perkauman dan perlu dikenakan tindakan namun sehingga kini pemimpin veteran berkenaan masih bebas dan belum dikenakan tindakan.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Kit Siang bagaimanapun hari ini mempertahankan kenyataannya, dan mempersoal adakah beliau terlalu dramatik apabila mendakwa ‘Selepas 54 tahun, Malaysia hampir-hampir ke arah satu lagi rusuhan 13 Mei 1969.

“Mari kita fikirkan kembali hari-hari 11, 12, dan 13 Mei 1969. Adakah sesiapa menjangkakan rusuhan 13 Mei 1969 akan meletus?

“Pelik apabila selepas lebih tiga dekad, saya telah dituduh menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969.

“Dakwaan liar dan tidak masuk akal bahawa saya menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969, pertama kali muncul pada abad ke-21, lebih tiga dekad selepas peristiwa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button