Ulasan ringkas kes tangkapan dan pendakwaan MB Kedah
Apa sudah jadi perjuangan tuntut keadilan dan laungan reformasi?

SEBELUM mengulas lanjut, saya berpendapat bahawa kita perlu faham terlebih dahulu apakah pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.
Menteri Besar (kerajaan caretaker) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Noor didakwa atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata yang didakwa bersifat hasutan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Seksyen yang berkaitan dan yang merujuk kepada kes Datuk Seri Sanusi Md Noor ialah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948:
4. (1) Mana-mana orang yang—
(a) melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut;
Kecenderungan menghasut pula ditakrifkan seperti berikut:
3 (1) Sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan—
(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(b) bagi membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana Kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah Raja itu atau wilayah yang diperintah oleh Kerajaan itu;
(c) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri;
(d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri;
Hukuman bagi sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan (selepas melalui semua proses dan peringkat keadilan) adalah:
Seksyen 4 (1)
“apabila disabitkan, boleh bagi kesalahan kali pertama didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya …”
Saya tidak pasti sama ada terdapat pertuduhan lain ke atas Menteri Besar Kedah ketika penulisan ini dimuatnaik, tetapi setakat maklumat yang diperolehi dari portal-portal media, beliau hanya didakwa di bawah Akta Hasutan.
Terdapat beberapa pemerhatian ringkas yang saya boleh buat mengenai kes pendakwaan ke atas Datuk Seri Sanusi.
Pemerhatian Pertama: Penangkapan jam 3.00 pagi. Saya tidak faham kenapa beliau perlu ditangkap pada waktu sebegini. Beliau bukanlah seorang penjenayah yang akan melarikan diri (flight risk) sepertimana Jho Low, yang sehingga hari ini masih belum dapat dikesan. Beliau adalah Menteri Besar kepada (kerajaan caretaker) negeri Kedah. Sekurang-kurangnya pihak polis boleh meminta beliau hadir ke mana-mana ibupejabat polis untuk memberi keterangan.
Sebagai perbandingan, Pengerusi parti DAP Lim Guan Eng, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, juga menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan, tetapi kita tidak mendengar sebarang berita bahawa beliau telah ditangkap jam 3.00 dengan disertai begitu ramai anggota polis di dalam serbuan yang dilakukan. Jadi kita tertanya-tanya apakah keperluan melibatkan begitu ramai anggota polis untuk menangkap Datuk Seri Sanusi pada jam 3.00 pagi.
Lim Guan Eng disiasat terlebih dahulu dimana beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis mengenai dakwaan mengeluarkan kata-kata bersifat hasutan. Saya difahamkan bahawa beliau tidak ditangkap selepas memberi keterangan tersebut.
Kita juga ingin tahu sama ada proses yang sama telah dilakukan ke atas Menteri Besar Kedah, iaitu meminta beliau datang ke balai polis untuk memberi keterangan tentang apa yang didakwa sebagai kata-kata bersifat hasutan dari beliau.
Ketua Polis Negara memberi alasan bahawa Datuk Seri Sanusi gagal dihubungi, justeru itu tangkapan perlu dibuat (pada ) jam 3.00 pagi. Alasan ini menghairankan dan agak lucu.
Ini kerana pihak polis yang sedia tahu nombor bilik penginapan Datuk Seri Sanusi boleh saja menunggu hingga keesokan pagi untuk meminta atau membawa Datuk Seri Sanusi ke ibu pejabat polis untuk beri keterangan, sebagaimana yang dilakukan terhadap Lim Guan Eng. Tangkapan awal pagi biasanya untuk kes-kes jenayah dan mungkin juga serbuan pencegah maksiat.
Alasan kedua yang diberikan adalah isu yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kedah melibatkan Sultan Selangor dan Yang Dipertuan Agong manakala kes Lim Guan Eng hanya melibatkan isu bangsa dan agama, dan tidak menyentuh institusi Diraja. Ini juga tidak boleh diterima oleh kerana di dalam sistem perundangan, seseorang itu perlu mendapat layanan yang sama adil meskipun melakukan kesalahan. Ia dipanggil Natural Justice.
Kesalahan di bawah mana-mana peruntukan Akta Hasutan adalah sama sahaja terpakai ke atas mana-mana pelakunya, sama ada menyentuh institusi raja, agama atau bangsa.
Sekiranya ia digunapakai atau dilaksanakan secara berbeza-beza mengikut jenis kesalahan atau peruntukan, tanggapan dan persepsi buruk akan timbul bahawa undang-undang dan pendakwaan (termasuk prosedur tangkapan) dilaksanakan atau dikuatkuasakan secara terpilih atau selektif.
Bagaimanakah rakyat hendak mencernakan dua-dua keadaan yang berbeza ini?
Pemerhatian Kedua: Di bawah Akta Hasutan, merits atau niat/alasan/justifikasi di sebalik kata-kata bersifat hasutan tidak akan diambil kira oleh mahkamah.Maksudnya Mahkamah tidak akan peduli sama ada kata-kata hasutan yang didakwa itu ada alasan, sebab, justifikasi atau penjelasan di sebaliknya, tetapi akan menjurus kepada apa yang sebenarnya ditulis, diucapkan, dicetak, disebarkan atau diterbitkan, secara nyata dan fizikal.
Di dalam kes Datuk Seri Sanusi pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa kata-kata yang diucapkan oleh Menteri Besar Kedah ini benar-benar 100 peratus menepati kehendak dan kriteria hasutan, manakala Datuk Seri Sanusi (melalui peguam beliau) perlu membuktikan bahawa kata-kata klien/anakguam mereka tidak bersifat hasutan dan tidak menepati kriteria pendakwaan atau kehendak Akta tersebut, khususnya terhadap DYMM Sultan Selangor.
Barangkali ada sebab kenapa begitu ramai peguam yang menawarkan diri untuk mewakili Datuk Seri Sanusi di dalam kes ini.
Pemerhatian Ketiga: Pendakwaan ke atas Datuk Seri Sanusi tidak membatalkan kelayakannya untuk bertanding sebagai calon pilihan raya dan kalau menang pun, kerusi yang dimenanginya tidak akan dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil dibuat. Ini kerana kelayakan dan/atau kemenangan seserang calon pilharaya akan terbatal sekiranya beliau telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukumkan di mahkamah. Dalam kes ini, Datuk Seri Sanusi mempunyai ruang pembelaan hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan sebagai platform keadilan terakhir.
Hanya setelah pertuduhan itu disabitkan di peringkat Mahkamah tertinggi barulah hukuman yang dijatuhkan akan berkuatkuasa. Sekiranya beliau dijatuh hukuman bersalah di peringkat awal pun masih belum hilang kelayakan lagi kalau beliau memohon supaya ditangguhkan perlaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan ke peringkat Mahkamah yang lebih tinggi.
Justeru itu, selagimana Datuk Seri Sanusi belum didapati bersalah di peringkat tertinggi Mahkamah, beliau boleh terus berkempen, bertanding dan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar bagi (kerajaan caretaker) negeri Kedah.
Pendakwaan dan pertuduhan ke atas beliau tidak menjadikannya seorang penjenayah yang harus dicurigai. Apa yang Menteri Besar perlu berwaspada ialah supaya sebarang ucapan atau kenyataan selepas ini tidak melanggar undang-undang. Itu saja.
Pemerhatian Keempat: Undang-undang sedia ada untuk mengawal keharmonian antara pelbagai kaum, bangsa dan anutan agama di negara ini sudah memadai. Maka tidak ada keperluan untuk memperkenalkan akta baru untuk menangani isu-isu berkaitan 3R ini sebagaimana yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Azalina Othman Said.
Undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Polis 1967, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan (Akta 574) mempunyai banyak peruntukan yang berkesan untuk menangani isu-isu sensitif mengenai 3R di kalangan rakyat. Pendakwaan ke atas ramai pemimpin politik juga kebanyakannya berdasarkan akta-akta tersebut.
Akta-akta yang sama juga telah digunapakai untuk mendakwa ramai rakyat Malaysia yang cuba mencetuskan ketegangan antara kaum, penganut agama-agama dan pelbagai kaum di negara ini. Setakat hari ini, semuaperuntukan undang-undang sedia ada sudah memadai dan berjaya mengawal keadaan dan memelihara keharmonian dan keamanan negara.
Malah, terdapat peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang memberi kuasa yang luas kepada pihak polis:
Seksyen baru 124B Kanun Keseksaan 124B. Aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen
“Whoever, by any means, directly or indirectly, commits an activity detrimental to parliamentary democracy shall be punished with imprisonment for a term which may extend to twenty years.
Terjemahan bebas:
Sesiapa, yang melalui apa cara sekalipun, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen akan dihukum penjara untuk tempoh yang tidak melebihi dua puluh tahun.
124C. Cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen
Whoever attempts to commit an activity detrimental to parliamentary democracy or does any act preparatory thereto shall be punished with imprisonment for a term which may extend to fifteen years.
Terjemahan bebas:
Sesiapa yang cuba untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen atau melakukan sebarang tindakan persediaan ke arahnya akan dihukum penjara untuk tempoh yang tidak melebihi limabelas tahun.
Peruntukan di atas sudah cukup bagi pihak keselamatan mencegah sebarang percubaan untuk mengganggu gugat keamanan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Bagaimanapun, isunya bukan pada memperkenalkan akta baru untuk mengawal selia isu-isu sekitar 3R tetapi setakat mana undang-undang sedia ada dikuatkuasakan, setegas mana komitmen yang ditunjukkan untuk melaksanakannya secara adil dan saksama ke atas semua pihak, tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian dan tanpa diskriminasi.
Ia juga tidak relevan sama sekali dengan aspek pencegahan atau pendidikan sehingga perlu kepada satu undang-undang baru untuk mempastikan keberhasilannya. Apa yang dicadangkan oleh Datuk Azalina Othman secara tidak langsung dan tersirat bahawa pihak kerajaan/polis telah gagal mempastikan keamanan dan keharmonian dapat/berjaya dipelihara melalui peruntukan undang-undang berkaitan yang sedia ada. Saya tidak percaya pihak polis telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dari sudut ini.
Terdapat mekanisma-mekanisma selain-perundangan) yang boleh mempastikan aspek-aspek bukan-jenayah yang terdapat pada Akta Hasutan misalnya boleh memberi kesedaran sivik kepada rakyat supaya memahami keperluan menjaga keharmonian dan menjauhi sebarang aktiviti yang akan menjejaskan keharmonian tersebut. Rakyat Malaysia juga secara umumnya merupakan warganegara yang peka dan patuh kepada undang-undang.
Yang lebih gemar memainkan isu-isu sensitif ini adalah dari kalangan ahli-ahli politik toksik. Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman juga sepakat bahawa tidak ada keperluan langsung untuk memantau dan mengawal isu-isu yang menyentuh 3R ini melalui akta baru.
Pemerhatian Kelima: Sebuah sistem demokrasi yang kuat akan memberi ruang kebebasan kepada rakyat untuk mengeluarkan pendapat. Sistem ini boleh menahan dan menepis apa sahaja serangan yang mengancam kedudukannya di atas kekuatan hujah ideologi itu sendiri, bukan melawan hujah pihak musuh dengan menggunakan kuasa undang-undang secara sewenang-wenangnya.
Mendidik rakyat, mendekati mereka, menzahirkan keprihatinan dan empati, merasai denyut dan degupan hidup rakyat dan membimbing dan mengikutsertakan mereka di dalam agenda serta halatuju negara leih berkesan untuk mempertahankan kelangsungan sistem demokrasi dalam sesebuah negara. Kebebasan juga tidak akan disekat hatta kepada tindakan menegur salahguna kuasa dan penyelewengan pimpinan negara atau pihak pemerintah.
Sistem demokrasi yang dinamik ialah di mana rakyat juga mempunyai hak untuk menghukum pihak pemerintah yang melakukan kesalahan atau penyelewengan. Pilihanraya adalah mekanisma umum yang sah di sisi undang-undang untuk menukar kerajaan melalui peti undi. Bagaimanapun, tidak ada mekanisma khusus kepada rakyat untuk menghukum pemerintah mereka yang korup, menyeleweng, salahguna kuasa, zalim dan cuba menghancurkan negara.
Saya tertarik dengan pandangan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mencadangkan untuk menggubal peraturan baharu yang memberi ruang masa perbahasan usul tidak percaya dan usul mengemukakan pendakwaan atau pertuduhan (Impeachment) oleh ahli Parlimen tanpa melalui proses yang rumit dan panjang.
Untuk makluman, ‘impeachment’ ini secara ringkasnya adalah proses untuk membawa/mengemukakan pertuduhan ke atas pegawai kerajaan atas perbuata salahlaku. Sau perbicaraan kemudiannya akan dijalankan dan jika sabit kesalahan, pegawai berkenaan akan dipecat.
Meskipun Yang di-Pertua Dewan Negara tidak bermaksud cadangan tersebut adalah bagi menggantikan Perdana Menteri/pemimpin negara, saya berpandangan bahawa aplikasi dan ‘semangat’ daripada proses impeachment ini perlu dinikmati oleh rakyat juga sebagai satu hak asasi bagi mempastikan wakil rakyat atau ahli Parlimen/DUN yang dipilih melalui mandat pilihanraya menjalankan tugas dan amanah masing-masing dengan jujur.
Rakyat boleh memulakan proses impeachment terhadap wakil rakyat kawasan yang melompat parti atau khianat atau salahguna kuasa. Ini boleh menjadi satu jaminan bahawa rakyat juga akan bertindak sebagai pengawal (guardian) kepada perjalanan sistem demokrasi dan mencegah penyelewengan di kalangan wakil atau pemimpin yang mereka lantik.
Keadilan, pembelaan dan tuntutan hak memang akan berlaku di Akhirat, akan tetapi sementara di dunia, kita juga perlu ada kuasa untuk memperbetulkan penyelewengan dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang diberi mandat sebagai pemerintah.
Negara yang semata-mata ‘bergayut’ kepada perlaksanaan hukum dan penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal, mempastikan kesetiaan dan kepatuhan rakyat lama kelamaan akan bertukar menjadi sistem kediktatoran secara kolektif. Para pemimpinnya sama ada bersifat individu, parti atau institusi, akan dianggap sebagai diktator dan sangat cenderung menyalahguna kuasa.
Pemerhatian Keenam: Parti-parti politik di dalam Pakatan Harapan (PH) dahulu (yang hari ini menjadi sebahagian dari kerajaan) sangat agresif untuk menghapuskan/mansuhkan undang-undang yang disifatkan sebagai zalim (contoh ISA – yang mereka berjaya melakukannya), menekan kebebasan, ‘draconian’ (kejam) dan melanggar hak-hak asasi.
Akan tetapi parti-parti tersebut semuanya mendiamkan diri, baik DAP, PKR, PAN dan termasuk juga UMNO, MCA dan Gerakan sekarang. Tidak ada lagi laungan, teriakan, desakan, tuntutan dan demonstrasi-demonstrasi jalanan supaya undang-undang tersebut dihapuskan. Mereka tidak lagi peduli kepada suara-suara dari rakan-rakan mereka yang dahuluya dijulang sebagai ikon-ikon ‘perjuangan’ yang memberi amaran tentang sikap hipokrit mereka.
Barangkali keseronokan dan kebanggaan dijulang oleh puluhan ribu rakyat Malaysia di jalaraya-jalanraya ibu negara sebagai “Wira” hanyalah satu hobi dan aktiviti hujung minggu sahaja bagi ahli-ahli dan para pemimpin parti-parti politik berkenaan.
Malangnya, semua prinsip ‘perjuangan’ dihumban ke laut sebaik-baik sahaja menjadi pemerintah. Sudah dua kali mereka berjaya bertapak di Putrajaya pun mereka masih gelabah bagaimana untuk keluar dari ‘perangkap janji’ untuk mereformasikan undang-undang ‘zalim’ yang mereka bantah dengan begitu garang sekali ketika menjadi pihak pembangkang.
Apa sudah jadi kepada ‘perjuangan menuntut keadilan’ dan jeritan-jeritan Reformasi! mereka? Episod sejarah itu sudah dipadamkan dari memori dan hard disk perjuangan merekakah? Atau mereka sendiri yang telah memadamkan memori dan merosakkan hard disk tersebut?
Majlis Peguam yang lazimnya sangat lantang dalam meyuarakan isu-isu yang berkaitan dengan keadilan, hak asasi dan salahguna kuasa juga tiba-tiba terbungkam, seolah-olah sudah terkena sumpahan ketegasan selektif.
BERSIH, Ambiga dan banyak lagi suara yang cuba mengingatkan pihak pemerintah dan kerajaan tentang idealisma perjuangan mereka hingga berjaya menjatuhkan kerajaan yang ‘korup’, ‘zalim’ dan ‘menindas’ semuanya seperti disampahkan begitu sahaja. Mereka sudah tidak peduli lagi kepada rintihan dan keperitan hidup rakyat apatah lagi untuk mempastikan keadilan dinikmati oleh semua.
Bagi seseorang yang berfikiran objektif dan kritikal, kes pendakwaan dan pertuduhan ke atas Menteri Besar (kerajaan caretaker) Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor adalah satu insiden pembuka mata untuk rakyat lebih memahami senario politik dan keadilan negara.
Semoga kita semua semakin celik undang-undang.
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi iPeguam