Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Video tular ajaran sesat Si Hulk dirakam di New Zealand

Pengikutnya pengecut, tindakan akan diambil jika mereka pulang ke negara

JOHOR BAHRU, 2 Muharam 1445H, Khamis – Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, individu yang dikesan mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Si Hulk dalam sebuah video tular baru-baru ini dipercayai berada di New Zealand.

“Pengasas dan juga pengikut ajaran sesat Si Hulk ini sebenarnya pengecut, mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian setelah tidak berada di dalam negara,” katanya.

Berikutan itu, katanya, tindakan penguatkuasaan sukar diambil memandangkan mereka tidak berada di dalam negara ketika ini.

Beliau berkata, tangkapan hanya boleh dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada jika mereka pulang ke negara ini.

“Hasil siasatan mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand, bila di luar negara mereka di luar bidang kuasa Johor, sebab itu tidak boleh ambil tindakan secara perundangan, itu kesulitan yang perlu difahami,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Pada Rabu, tular dua video membabitkan lima sekeluarga termasuk ibu dan bapa membuat pengakuan ajaran sesat di Facebook, selain dua individu iaitu lelaki dan wanita yang membuat pengakuan bahawa Allah itu Nabi Muhammad ﷺ.

Di Johor, ajaran itu telah difatwakan sesat sejak Julai 2021, maka semua aktiviti yang berkaitan dengannya termasuk perniagaan dan perkhidmatan adalah dilarang dan difatwakan haram.

Mohd Fared berkata, JAINJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ajaran itu.

Katanya, antara langkah awal yang boleh dibuat adalah untuk menyekat penyebaran video-video oleh golongan terbabit.

“Saya mohon masyarakat tidak mengikuti video dan rakaman berunsur ajaran sesat ini, jika ada terlihat rakaman yang pelik dan musykil boleh maklumkan kepada JAINJ.

“Jelas ajaran itu telah menyimpang dan sesat, terkeluar daripada ajaran Islam yang diamalkan di Johor. Apabila ajaran-ajarannya pelik dan tidak logik, adalah lebih baik untuk dijauhi,” tegasnya.

Sementara itu, Mohd Fared turut memaklumkan bahawa aktiviti perniagaan melibatkan air minuman yang dijalankan golongan itu juga telah dihentikan setelah beberapa kilangnya ditutup.

“Status terkini kilang air Si Hulk yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia, ia telah ditutup. Difahamkan penutupan itu selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.

“Oleh yang demikian, sekiranya produk tersebut masih berada dalam pasaran, pemilik premis diminta untuk menghentikan jualan produk-produk berkenaan kerana ia menyokong aktiviti ajaran sesat terbabit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button