OIC kecewa Sweden masih benarkan rancangan bakar al-Quran
Perbuatan bakar teks agama bertentangan hak kebebasan bersuara

RIYADH, 3 Muharam 1445H, Jumaat – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya rancangan pembakaran naskhah al-Quran ketika protes di luar Kedutaan Iraq di Stockholm pada Khamis.
Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha menyifatkan rancangan berkenaan sebagai tindakan provokasi dan menegaskan perbuatan membakar teks agama melanggar semangat Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik serta tidak dibenarkan oleh hak kebebasan bersuara.
Beliau berkata, rundingan dengan negara-negara anggota OIC akan mempertimbangkan langkah-langkah yang mungkin untuk menghalang perbuatan itu.
Pada masa sama, OIC juga kecewa dengan pihak berkuasa Sweden kerana terus memberikan kebenaran untuk melakukan protes yang mencemarkan simbol agama seperti kitab suci umat Islam.
Hissein turut menekankan fakta bahawa Majlis Hak Asasi Manusia PBB baru-baru ini, menerima pakai resolusi mengenai menentang kebencian agama yang membentuk hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan.
Beliau turut menekankan kepentingan mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa dan menggesa pihak berkuasa Sweden menghentikan pemberian kebenaran kepada kumpulan serta individu pelampau untuk melakukan aktiviti provokatif dan berpotensi berbahaya itu.
Semalam, protes di Stockholm membabitkan dua lelaki diteruskan, dengan salah seorang daripadanya adalah individu yang sama membakar Al-Quran di luar masjid Stockholm pada Jun lalu.
CNN melaporkan bahawa tiada mana-mana naskhah al-Quran dibakar tetapi ada yang ditendang dan dirosakkan.
Kejadian itu susulan protes penunjuk perasaan Iraq di Kedutaan Sweden di Baghdad yang menyerbu dan membakar sebahagian bangunan itu ekoran marah terhadap rancangan pembakaran al-Quran di negara berkenaan. – Agensi